Ranking Harimau Malaya mampu lonjak ke-139 dunia


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Aksi pemain Harimau Malaya ketika menentang Turkmenistan pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, 23 Mac lalu. — Bernama

SKUAD Harimau Malaya mampu melonjak ke kedudukan ke-139 dunia sekiranya berjaya memenangi kedua-dua aksi perlawanan persahabatan kali ini.

Kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan yang dilakar anak-anak buah Kim Pan-gon menyaksikan pasukan kebangsaan secara tidak rasminya berada pada ranking ke-140 dunia.

Berdasarkan football-ranking.com, kemenangan itu memberikan 5.27 mata kepada skuad negara bagi mata ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan kini menghimpun 1077.26 mata.

Ketika ini, skuad negara berada pada ranking ke-145 dunia manakala Turkmenistan pula pada kedudukan ke-135.

Mereka berpeluang mengutip 4.85 mata lagi jika berjaya meraih kemenangan ke atas Hong Kong pada aksi persahabatan kedua, 28 Mac ini.

Sebagai rekod, Hong Kong berada satu anak tangga di bawah Malaysia iaitu 146.

Jika berjaya merakam kemenangan ke atas Hong Kong, skuad negara secara tidak rasminya akan melonjak ke-139 sebelum kemas kini rasmi diadakan FIFA pada 6 April.

Ia sekali gus melonjak memintas negara dari Amerika Selatan, Suriname.

Kedudukan ke-139 dunia itu bakal menghampiri kedudukan terbaik skuad kebangsaan pada 2011 selelas memenangi Piala AFF 2010 di mana Malaysia pernah menduduki tangga ke-138 sebelum mengalami kejatuhan ke tangga ke-178 pada tahun 2018.

Secara keseluruhan, ranking terbaik yang pernah diraih Malaysia adalah 75 sementara kedudukan terburuk adalah 178. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram