'Tak acah-acah 'star', selain Arif Aiman dan Feroz, bekas otai JDT turut dipuji 'humble'


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mac 2023

JDT melahirkan ramai pemain yang berkualiti antaranya Irfan Fazail dan Fadhli Shas yang merupakan rekrut awal kelab Harimau Selatan. — Facebook / IG

MESKIPUN menerima limpahan publisiti sebagai bintang bola sepak di kelab ternama, ada pemain yang masih bersikap merendah diri dan amat disenangi dalam kalangan penyokong tempatan.

Antara yang sering dipuji suka merendah diri ialah bintang muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang selalu menunjukkan adab bersopan-santun setiap kali bertemu pemain senior dari kelab lain.

Tidak ketinggalan rakan sepasukannya yang semakin meningkat naik selepas debut di skuad senior Harimau Selatan, Feroz Baharuddin yang turut dipuji atas sikap humble di luar padang.

Walaupun berstatus pemain bintang, mereka berdua antara pemain yang dikenali dengan sikap sentiasa merendah diri dan disenangi rakan serta lawan.

Mungkin keperibadian kedua-dua tonggak JDT itu dipengaruhi pemilik kelab itu sendiri, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang pernah meninggalkan nasihat agar pemainnya sentiasa merendah diri dan berdisiplin dalam kerjaya masing-masing.

WhatsApp Image 2023-03-24 at 14.00.26

Justeru tidak hairanlah jika ramai bekas bintang JDT membawa keperibadian mulia itu walaupun sudah lagi tidak bersama kelab Harimau Selatan.

Ia terbukti apabila seorang pemain senior yang pernah berkhidmat dengan kelab itu mendapat pujian daripada seorang penyokong ketika mereka bersua muka dalam satu majlis tidak rasmi di sebuah sekolah.

Pemain yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan Sri Pahang FC, Fadhli Shas yang direkrut dengan kontrak dua tahun bersama skuad Tok Gajah selepas lapan musim bersama JDT.

Dalam perkongsian itu, penyokong tersebut, Salehuddin Lokman berkongsi fotonya dengan Fadhli yang mana kedua-duanya mengenakan baju Melayu.

"Tadi majlis sekolah anak, duduk satu saf sebelah Fadhli tapi mula-mula tak perasan sebab humble sangat orangnya. Kita pula tak pernah tengok dia jarak dekat gitu, biasa tengok dalam televisyen saja," tulisnya.

Fadhli kemudian membalas hantaran itu dengan kapsyen, "Masya-ALLAH, selamat berpuasa tuan."

Sri Pahang FC ketika ini menduduki kelompok lima terbaik carta Liga Super 2023 dengan sembilan mata manakala JDT terus mengukuhkan cengkaman di persada liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram