'Beast in the making', debut Nooa Laine petanda cerah masa depan HM


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Nooa melakukan penampilan pertama bersama skuad senior pada separuh masa kedua. — Facebook/FAM

AKSI persahabatan Kelas 1 menentang Turkmenistan menyaksikan Harimau Malaya meraih keputusan positif apabila jaringan pemain sayap, Muhammad Akhyar Abdul Rashid berhasil memberi kemenangan 1-0 buat skuad kebangsaan.

Walaupun hanya hanya menang tipis namun jaringan dari pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu pada minit ke-29 sudah cukup menggembirakan penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor.

Dalam perlawanan tersebut juga menyaksikan beberapa wajah baharu seperti Feroz Baharudin, Paulo Josue, Fayadh Zulkifli, Endrick dos Santos dan pemain muda warisan, Nooa Laine melakukan penampilan pertama bersama skuad senior.

Daripada lima pemain membuat debut itu, pemain tengah yang berpangkalan di Finland, Nooa menjadi tumpuan penyokong kerana rata-ratanya tidak sabar ingin melihat kemahirannya selepas menimba pengalamannya beraksi di luar negara.

laine

Nooa semakin mendapat perhatian penyokong. — Facebook/FAM

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menurunkan Nooa pada babak kedua perlawanan dan kelihatan pemain berusia 21 tahun itu beberapa kali mendapat peluang untuk mencetak gol namun percubaannya tidak berhasil

Penampilan sulung tonggak warisan Finland-Malaysia itu bagaimanapun mendapat pujian daripada penyokong dan mereka berpendapat Nooa mempunyai masa yang cerah untuk terus beraksi bersama skuad kebangsaan pada masa depan.

"Nooa Laine. Bila kita (Malaysia) berhasil meyakinkannya untuk beraksi untuk negara. Ia adalah sebuah kemenangan untuk saya. Budak itu akan bertambah baik. Dia seorang yang boleh menjadi pemain tengah bertahan," komen wartawan sukan, T.Avineshwaran dalam laman Twitter miliknya.

"Tanpa berselindung lagi, beast in the making," kata penyokong Harimau Malaya, M.rizal.

"Boleh tahan. Dia berani dan yakin. Pengawalan bola pun okay. Menyokong pasukan untuk memberikan tekanan, perlawanan pertama biasalah untuk rentak pasukan, untuk persembahan secara individu saya rasa okay," komen seorang lagi penyokong, Aisyah Ghazali.

Selepas Turkmenistan, Malaysia akan berdepan pasukan Hong Kong pada 28 Mac ini sempena siri Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 dalam persediaan pasukan negara menghadapi Piala Asia 2023.

Untuk rekod, Malaysia pernah menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun tahun lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram