"SAYA kecewa namun reda." Itu luahan tonggak tengah Kelantan FC, Ikhwan Yazek yang hampir pasti terpaksa melupakan baki saingan Liga Malaysia musim ini susulan kecederaan lutut yang dialaminya ketika aksi berdepan KL City Jumaat lalu.
Pemain yang mesra disapa Awe itu bagaimanapun tetap percaya dia mampu bangkit untuk mendapatkan semula prestasinya selepas pulih daripada kecederaan.
"Saya mengalami kecederaan ligamen lutut MCL dan ia turut menjejaskan tisu meniskus," kata Ikhwan menerusi perkongsian bersama wartawan, Fadhirul Shuhaimi.
Norizam (kanan) sempat melawat Ikhwan untuk melihat keadaan pemain itu. — Facebook
Ikhwan memaklumkan, ia merupakan kecederaan yang serius dan dia tidak dapat untuk meneruskan permainan.
"Saya cuba untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama namun rezeki tidak memihak saya untuk beraksi dengan tempoh yang lebih panjang.
"Kemungkinan saya perlu berehat sehingga Disember bergantung dengan proses pembedahan yang bakal dijalankan," katanya.
Kelantan FC dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, Ikhwan dikhuatiri mengalami kecederaan lutut di bahagian meniscus dan dijangka memerlukan rawatan lanjut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram