PEMAIN sayap sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim mengakui berasa tertekan kerana masih belum berjaya menjaringkan gol pada musim ini baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa.
Tonggak sayap Selangor FC itu menganggap masih tiada rezeki untuknya menjaringkan gol buat masa ini dan percaya dia memerlukan satu gol untuk membina momentum.
"Sudah tentu saya sebagai pemain agak stres sebenarnya memikirkan untuk menjaringkan gol.
"Tapi ini bola sepak, saya belum ada rezeki. Mungkin saya perlu kerja keras, perlu banyak berdoa, mungkin juga saya ada salah silap dengan sesiapa dan perlu meminta maaf untuk saya menembusi jaring.
"Saya inginkan satu gol untuk diri saya untuk teruskan scoring saya. Kalau tengok dalam lima perlawanan Liga Super pun saya masih gagal.
"Malam ini pun ada peluang tapi tiada rezeki buat saya," katanya menerusi rakaman temu bual HarimauMalaya di Facebook.
Faisal tetap membantu barisan serangan untuk mendapatkan jaringan. — Facebook
Di peringkat kelab, Faisal yang berpindah dari Terengganu FC ke Selangor FC musim ini sudah membuat lima penampilan bersama Gergasi Merah dalam saingan Liga Super, namun belum berjaya membuka ‘akaun’ jaringan.
Musim lalu, dia mengumpul keseluruhan 11 gol dalam kempen Liga Malaysia - enam gol dalam Liga Super, Piala FA (tiga) dan Piala Malaysia (dua), selain menjaringkan sembilan gol dalam kesemua aksi bersama pasukan negara termasuk empat gol pada Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022.
Sementara itu, Faisal berkata, walaupun masih tidak berjaya mencetak sebarang gol, dia tetap membantu barisan serangan untuk mendapatkan jaringan.
“Walaupun agak tertekan fikir nak jaringkan gol tapi saya tetap gembira kerana pasukan kita menang.
"Macam perlawanan tadi kita lihat saya ada beberapa peluang tetapi penjaga gol mereka (Turkmenistan) begitu baik.
"Apapun saya gembira Malaysia menang dan itu cukup terbaik untuk saya," katanya.
Faisal belum berjaya membuka ‘akaun’ jaringan di Selangor FC. — Facebook
Dalam pada itu, tular dakwaan di laman sosial kononnya Faisal kena boo di stadium dengan penyokong Harimau Malaya kerana gagal meledak gol buat skuad kebangsaan.
Bagaimanapun insiden itu dinafikan penyokong yang berada di stadium yang menjelaskan bahawa bunyi 'siuuuu' kedengaran seperti 'booo'.
"Bunyi siuuuu tu bukannya boooo," kata jayb82.
"Ni jenis tak pergi stadium la ni pastu memekak. Sampah," tambah Idham.
Skuad Harimau Malaya menewaskan Turkmenistan 1-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, pada Khamis menerusi jaringan tunggal Muhammad Akhyar Abdul Rashid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram