SEPANJANG tiga perlawanan Johor Darul Takzim (JDT), hasrat penyokong untuk melihat taring penyerang berbisa, Bergson da Silva dalam aksi awal musim Liga Super tidak kesampaian.
Atas faktor kecederaan dan tidak cergas sepenuhnya membuatkan pemain dari Brazil itu sudah terlepas tiga aksi Liga Super JDT iaitu ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan FC, Kelantan FC dan Selangor FC pada Jumaat lalu.
Ketiadaan penjaring terbanyak Liga Super musim 2022 itu dałam tiga perlawanan skuad Harimau Selatan bagaimanapun menjadi perkara positif apabila ia memberi peluang kepada tonggak lain untuk menyerlah.
Antara pemain yang semakin mendapat perhatian dan berhasil menggunakan peluang ‘kehilangan’ Bergson ialah bintang import dari Argentina, Fernando Forestieri.
Bergson sudah terlepas tiga aksi Liga Super bersama JDT. — Facebook/JDT
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Forestieri kini mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super dengan lima jaringan dan diikuti rapat oleh pemain tengah Sabah FC, Park Tae-su yang merekodkan empat gol.
Dalam senarai itu juga menyaksikan tiga lagi pemain skuad Harimau Selatan mengungguli antara penjaring terbanyak iaitu Arif Aiman Hanapi, Diogo Luis Santo dan Endrick dos Santos, yang masing-masing mencatatkan tiga jaringan.
Meskipun agak janggal apabila nama Bergson tiada dalam senarai tersebut namun kejayaan pemain dari Argentina itu membuktikan bahawa Forestieri secara perlahan-lahan berhasil keluar dari bayang-bayang penyerang berusia 32 tahun itu.
Walaupun sebelum ini Forestieri mendapat kritikan daripada penyokong Harimau Selatan kerana sikap tamaknya namun kerajinan dan tenaganya dalam membantu JDT layak mendapat pujian.
Antara penjaring terbanyak Liga Super 2023 selepas lima perlawanan. — Facebook/MFL
“Kelibatnya di atas padang cukup lincah dan bertenaga..Kerajinannya turun dan naik membantu pertahanan selain bermain di posisi serangan menjadikannya pemain yang sukar untuk dikawal pergerakannya oleh pertahanan lawan.
“Dia juga mepunyai larian dan gelecekan yang terbaik serta mantap bagi menghasilkan gol buat pasukan JDT. Tidak hairanlah setakat ini dia penjaring terbanyak dalam carta Liga Super,” komen penyokong JDT, HIV Miky.
“Forestieri makin mantap. Kalau Bergson ada nanti lagi berdenyut,” kata penyokong Harimau Selatan, Mohd Raffi Bin Talib.
Sumbangan jaringan daripada Forestieri meletakkan Harimau Selatan menjadi pendahulu liga dengan kutipan 15 mata.
Selepas ini anak-anak buah Esteban Solari akan melayan kunjungan Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 31 Mac. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram