Kelantan United kempunan 3 mata buat kali kelima, nama coach Lembah Klang mulai bergema ganti Tomas Trucha


  • Podium
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Agba (kiri) membuka akaun jaringan pertamanya buat PDRM FC musim ini. — Facebook/PDRMFC

KELANTAN United Football Club (KUFC) sekali lagi gagal melunaskan hasrat untuk menamatkan badi kekalahan apabila tewas 0-2 di tangan pasukan tuan rumah, PDRM FC dalam saingan Liga Super pada Sabtu.

PDRM FC yang beraksi di halaman sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggunakan sebaik-baiknya peluang itu dengan memperoleh tiga mata penuh dan merekodkan kemenangan ketiga The Cops.

Manakala, pasukan di bawah bimbingan Tomas Trucha pula masih buntu untuk mencari tiga mata berharga selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super musim ini.

Faktor cuaca buruk dengan keadaan hujan lebat pada separuh masa pertama tidak dinafikan menjadikan perlawanan antara skuad Kijang Hijau dan PDRM FC tidak dapat menyajikan persembahan lebih baik bagi aksi kelima Liga Super pada Sabtu.

Namun begitu, perlawanan perlu diteruskan dan pemain dari kedua-dua pasukan meneruskan usaha untuk melakukan pelbagai serangan demi serangan bagi mencari gol pertama.

Meskipun pada babak pertama, KUFC mengawal perlawanan namun jentera serangan gagal menterjemahkan semua peluang yang diperoleh kepada jaringan gol.

WhatsApp Image 2023-03-18 at 19.23.07

Antara aksi pemain KUFC menentang PDRM di MBPJ pada Sabtu. — Facebook/PDRMFC

Manakala, skuad di bawah kendalian Azzmi Aziz pula dilihat bijak menggunakan peluang apabila mencetak dua gol menerusi jaringan Dzulfahmi pada minit kesembilan dan sepakan penalti yang disempurnakan Uche Agba.

Sepakan penalti itu diberikan pengadil perlawanan selepas terjahan yang dilakukan oleh penjaga gol KUFC, Ashraaf Omar ke atas Agba.

Keputusan tidak memihak kepada pasukan pelawat itu membuatkan penyokong KUFC meluahkan kekecewaan kerana hanya merekodkan satu seri dan empat kekalahan setakat ini.

Tidak tahan melihat pasukan kegemaran menghuni kedudukan terbawah, penyokong KUFC mulai meletakkan kesalahan kepada pengendali pasukan, Trucha yang disifatkan gagal untuk mencari corak permainan dan jentera serangan Kijang Hijau.

“Ketua jurulatih dah patut tukar, ambil P.Maniam (bekas Petaling Jaya City),” cadang penyokong Kijang Hijau, Mohd Azwan.

“Morgaro Gomiz dengan jurulatih (Trucha) itu patut d********n KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sahaja. Tiada guna langsung dalam perlawanan,” tambah Aiman Daniel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram