Lawatan Marzuki Nasir ke Jepun bakal lonjak reputasi Sabah FC


  • Podium
  • Isnin, 20 Mac 2023

Marzuki merupakan antara figura berpengaruh dalam skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC

PENANTIAN Sabah FC untuk melayakkan diri ke pentas Asia akhirnya tamat apabila mereka bakal beraksi di Piala AFC yang dijangka bakal berlangsung pertengahan Jun ini.

Kejayaan untuk mengakhiri saingan Liga Super di tempat ketiga sudah cukup untuk skuad Sang Badak berada dalam kejohanan itu selepas kali terakhir layak pada 1995.

Oleh itu, bagi mencerahkan peluang mereka beraksi dengan lebih baik, pihak pengurusan dilihat tidak henti-henti melakukan persiapan sepanjang jendela perpindahan lalu.

Di samping membawa masuk beberapa pemain baharu, Sabah FC juga dilaporkan berminat menaik taraf Stadium Likas, Sabah bagi memenuhi kriteria ditetapkan pihak AFC.

Prestasi mereka di atas padang juga tidaklah mengecewakan apabila mereka sudah mengumpul 12 mata daripada lima aksi Liga Super yang menyaksikan pasukan Borneo itu berada di tangga kedua liga.

Namun, usaha mereka dilihat tidak terhenti di situ apabila Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Ahmad Marzuki Nasir sepertinya mula merencanakan langkah ke hadapan.

Menerusi satu perkongsian di Facebook peribadinya, dia dilihat mengadakan lawatan ke Stadium Nissan, Jepun pada Sabtu untuk menonton aksi Liga J1.

335412827_3076568445976955_957671664157060363_n

Marzuki (kiri) sempat berkongsi foto ketika dia bertemu Presiden Yokohama F Marinos, Nakayama Akihiro. Facebook/Ahmad Marzuki Nasir

"Jemputan menyaksikan perlawanan Yokohama Marinos vs Kashima Antlers dan berpeluang berjumpa Presiden Yokohama F Marinos, Nakayama Akihiro untuk menyatakan hasrat berkolaborasi pada masa akan datang.

"Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada kelab-kelab Liga J ini untuk kita cuba implementasi di Malaysia dari segi pemasaran dan pengurusan," tulisnya.

Perkongsian itu pastinya cukup menggembirakan penyokong skuad Sang Badak yang berhasrat untuk menyaksikan pasukan berkenaan terus cemerlang dalam persada bola sepak tanah air.

Selain berpeluang untuk menimba ilmu, hubungan itu juga pastinya memberi peluang kepada perkembangan bola sepak Sabah setiap kali jendela perpindahan.

Ini kerana pemain-pemain muda berpotensi boleh dihantar ke kelab Jepun berkenaan untuk mendapatkan pengalaman yang mana cukup berharga dalam menaikkan potensi pasukan.

Dalam perlawanan itu, pasukan tuan rumah berjaya membawa pulang tiga mata yang meletakkan mereka di kedudukan ketiga dengan hanya dua mata dibezakan dengan pendahulu liga, Vissel Kobe. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram