REMBATAN laju tonggak pertahanan, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Akmal Zahir ketika perlawanan Sang Kenari menentang Kuching City FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat lalu menggembirakan pemilik pasukan itu, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Jaringan pada minit ke-28 itu terhasil selepas bola tersebut sedikit melencong dan terus ke penjuru gawang pasukan lawan walaupun penjaga gol skuad The Cats, Julian Garcia sudah melayangkan diri untuk menepis percubaan Akmal.
Mohd Daud yang ketika itu baru sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terkejut dengan sepakan laju pemain berusia 29 tahun itu selain menikmati kemenangan besar 3-0 tersebut.
Selain daripada jaringan sulung Akmal itu, reaksi tonggak tengah, Amirbek Juraboev yang meletakkan kedua-dua tangannya di belakang kepalanya mencuri perhatian pemilik Kedah itu.
Menurut Mohd Daud, tindak balas daripada pemain dari Tajikistan itu merupakan reaksi yang akan dilakukan oleh masyarakat di Asia Tengah ketika melihat insiden mengejutkan ataupun 'rare occasion'.
"Yang paling menarik perhatian saya adalah reaksi Amirbek. Dia meletakkan kedua-dua tangannya di belakang kepalanya tanda hairan dan terkejut sebaik saja bola melencung masuk di penjuru gol.
"Bola sebenarnya terbang laju di hadapan sepasang matanya. Dia mungkin tidak menjangka bola sepakan laju Akmal akan masuk gol apatah lagi dengan penuh bergaya.
"Bila mana semua pemain meraikan jaringan gol hebat ini bersama pasukan kejurulatihan di sebelah padang, sekali lagi Amirbek menangkat kedua-dua tangannya atas kepala. Dia masih terkejut. Sebagai seorang yang ramai kawan di Asia Tengah, saya amat faham erti dan makna meletakkan kedua-dua tangan di belakang kepala selepas berlaku sesuatu insiden yang jarang berlaku," katanya di laman Facebooknya.
Selain itu, usahawan tersebut juga memuji keperibadian Akmal yang menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH SWT selepas berhasil mencetak jaringan buat pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu.
Tambahnya, bukan hanya pasukan Hijau Kuning, malah semua penyokong bola sepak tempatan berhak menikmati detik manis ini dan menyifatkan itu antara jaringan hebat dalam liga tempatan.
"Akmal juga terkejut dengan jaringannya sendiri. Dalam sidang media selepas perlawanan, dia juga menzahirkan rasa terkejut. Dia juga tidak lupa menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH beberapa kali. Ini adab yang tinggi. Sehebat mana kita, semuanya hanya anugerah ALLAH.
"Jaringan ini akan kekal dalam memori penyokong dan peminat KDA FC sampai bila-bila. Anak-anak kecil serta remaja di sekolah dan padang bola dan pak cik di tempat kerja serta tokwan di kedai kopi dan majlis kenduri kendara akan bercakap tentang detik manis ini. Sang Kenari berhak menikmati detik manis ini. Malah setiap warga Malaysia pun berhak. Ini antara jaringan hebat dalam liga kita," kongsinya.
Selepas lima perlawanan KDA FC dalam saingan Liga Super setakat ini, skuad Sang Kenari berada di tangga ketiga carta dengan mengumpul 12 mata melalui empat kemenangan dan satu kekalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram