KETUA jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon bersedia memberikan Paulo Josue dan Endrick Dos Santos lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainannya sambil berusaha mengetepikan jangkaan menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tahap 1, minggu depan.
Jurulatih Korea Selatan itu berkata, kedua-dua pemain telah membuktikan diri mereka dalam liga sebelum ini, justeru penting untuk mereka membiasakan diri dengan rentak permainan pasukan kebangsaan.
"Seperti anda katakan, Josue dan Dos Santos... kami menaruh harapan tinggi terhadap mereka agar dapat membantu mempertajamkan serangan kami, tetapi kami tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada mereka. Kami (terlebih dahulu) berusaha untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan pasukan, agar mereka dapat meneroka potensi diri.
"Saya rasa mereka sudah membuktikan kebolehan diri mereka dalam Liga Super. Saya rasa semua orang tahu bahawa mereka permain yang berkualiti tinggi, tetapi saya rasa peminat dan saya sendiri, memerlukan sedikit kesabaran kerana mereka juga manusia, tidak mudah untuk mereka menyesuaikan diri.
"Kami perlu memberi sokongan penuh kepada mereka supaya dapat membantu, kami," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pertama skuad itu di padang Padang Sri Gelam, Johor.
Noaa menjadi antara nama baharu dipanggil ke dalam kem latihan Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Selain dua pemain bola sepak kelahiran Brazil itu, Pan-gon turut memanggil 12 muka baharu menyertai latihan berpusat kebangsaan bagi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan pada 23 Mac dan Hong Kong pada 28 Mac di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Antara muka baharu ialah penjaga gol Damien Lim, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting, Feroz Baharudin dan Nooa Laine kelahiran Finland.
Pan Gon juga mengekalkan sembilan daripada 23 pemain yang beraksi dalam pertandingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 pada Januari.
Ditanya mengapa dia menghubungi Laine, Pan-gon berkata, dia berasakan pemain berusia 20 tahun itu adalah tambahan kekuatan kepada pasukan, setelah memperoleh pengalaman berharga bermain untuk SJK Seinajoki dalam Division teratas Finland.
"Seorang pemain muda, tetapi mempunyai banyak pengalaman di Division Satu. Saya melihat tarikan kuasa yang baik, kuat dan semangat juang yang tinggi, jadi kami mahu melihat kualiti itu,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram