Sanggup tinggalkan Vietnam, Park Hang-seo dedah pernah tawar diri latih Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 25 Jan 2023

Piala AFF 2022 menjadi tugas terakhir Hang-seo sebagai pengendali skuad Golden Star Warriors. — Agensi

SELEPAS gagal membawa Vietnam merangkul kejuaraan Piala AFF 2022, Park Hang-seo secara rasminya meninggalkan pasukan itu setelah lima tahun mengendalikannya.

Pengendali berusia 64 tahun itu masih tidak mempunyai rancangan untuk bersara dalam masa terdekat, malah beliau mengakui mendapat banyak tawaran termasuklah melatih pasukan kebangsaan, Indonesia.

Bagaimanapun, tawaran tersebut terpaksa ditolak Hang-seo kerana dia berpendapat Shin Tae-yong melakukan tugas yang baik sebagai ketua jurulatih Indonesia.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu juga memaklumkan akan menerima tawaran dari tempat kelahirannya atau Vietnam kerana pernah menjadi jurulatih di dua negara tersebut.

Selain menerima beberapa tawaran, Hang-seo sebelum ini dikatakan hampir menjadi pengendali skuad kebangsaan bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.

KPG PHS

FAM lebih memilih Pan-gon untuk melatih Harimau Malaya. — Agensi

Berita itu dikongsikan oleh pemerhati sukan, Piang Shankly di laman Twitter miliknya yang menyatakan pengendali berkenaan pernah menawarkan diri untuk menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.

Lebih mengejutkan apabila Hang-seo difahamkan sanggup meninggalkan skuad Golden Star Warriors demi melatih pasukan kebangsaan Malaysia.

Tawaran dari Hang-seo itu berlaku ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang mencari ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe selepas gagal dalam saingan Piala AFF 2020.

Namun, nasib tidak menyebelahi Hang-seo apabila badan induk berkenaan memilih Kim Pan-gon untuk melatih pasukan kebangsaan.

Untuk rekod, sejak membimbing skuad senior dan B-23 Tahun Vietnam pada 2017, Hang-seo berhasil mencipta beberapa kejayaan seperti memenangi Piala AFF 2018 dengan menewaskan Malaysia.

Malah, bekas pengendali Changwon City itu juga berjaya membawa Vietnam memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2019 dan 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram