KERAJAAN Kelantan akur dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA), yang memutuskan negeri itu akan menjadi tuan rumah temasya tersebut pada 2028.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya juga tidak akan melakukan bantahan terhadap keputusan tersebut.
"Keputusan dibuat kelmarin (Khamis) Kelantan akan menjadi tuan rumah SUKMA 2028, namun perincian mesyuarat berkenaan tidak boleh didedahkan.
"Alasan kita (Kelantan) ditangguhkan menjadi tuan rumah kena tanya Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) sendiri. Namun begitu persiapan untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2028 akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir Mesyuarat Agung Pemuda PAS Kelantan kali ke-64, di Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.
Sementara itu mengulas mengenai Hannah yang membuat laporan polis berikutan kenyataan Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed, yang mendakwa hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah pada 2024 dinafikan, Wan Roslan berkata, mungkin berlaku salah faham dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad Kamal.
"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda menggambarkan anak muda begitu teruja supaya SUKMA diadakan di Kelantan.
"Beliau mungkin bimbang temasya ini tidak diadakan di Kelantan, kerana negeri lain telah menjadi tuan rumah dua kali.
"Jadi saya rasa tidak timbul masalah sekiranya berlaku kesilapan dalam kenyataan itu, sepatutnya kenyataan Ketua Pemuda itu diperbetulkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Sarawak secara rasmi dipilih sebagai tuan rumah SUKMA 2024, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) akan menganjurkan temasya tersebut pada 2026.
Kelantan pula bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah edisi 2028, untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram