MEMANFAATKAN peluang serangan balas selain menguasai bahagian sayap berjaya membantu Sri Pahang FC mencatat kemenangan ke atas Perak FC pada saingan Liga Super, pada Khamis.
Ketua Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad berkata, meskipun terpaksa menurunkan penyerang sensasi Kpah Sherman yang masih tidak cergas sepenuhnya, namun strategi berkenaan berjaya membolehkan pasukan meraih tiga mata.
"Kita terpaksa menurunkan Kpah Sherman yang tidak cergas sepenuhnya. Jadi kena bermain corak serangan balas laju dan kita ambil peluang apabila Perak kena satu gol dan saya nampak pemain mereka kecewa.
"Bila saya lihat keadaan ini, kita ubah taktikal dengan membiarkan dominasi mereka sahaja kawal permainan dan biarkan mereka datang (ke kawasan Pahang) selain kita melakukan serangan balas laju untuk cipta peluang," katanya pada sidang media selepas perlawanan pada Khamis.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, itu menyaksikan tuan rumah tewas kepada Skuad Tok Gajah dengan keputusan 0-3.
Fandi dalam pada itu mengakui penampilan anak buahnya masih belum cukup konsisten dan berharap permasalahan tersebut akan dapat diatasi segera sebelum perlawanan berikutnya.
Pada perlawanan itu juga merupakan penampilan ke-200 tonggak tengah, Norazam Azih bersama skuad Tok Gajah. — Facebook/SriPahang
"Diakui pemain saya agak terikut-ikut corak permainan pihak lawan selepas Perak dilayangkan kad merah sehingga membuat pemain lawan kembali mendapat rentak mereka semula mungkin disebabkan pemain sudah keletihan dan apabila kita tukar pemain, barulah tempo turut bertukar dan pemain gantian Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri dapat menjaringkan gol kemenangan," katanya.
Sementara itu, pengendali Perak Datuk Lim Teong Kim mengakui agak kecewa dengan keputusan perlawanan selain menyifatkan ketiadaan tonggak utama serta layangan kad merah memberi kesan kepada mutu permainan The Bos Gaurus.
"Saya menerima kenyataan Sri Pahang bermain lebih baik daripada kami malam ini (semalam). Bermain dengan 10 pemain nyata membuatkan kami tempang, namun separuh masa kedua kami cuba perbaiki dengan mengubah taktikal tetapi ternyata ia tidak mencukupi untuk membawa pulang tiga mata," katanya.
Teong Kim dalam pada itu berkata beliau mempertaruhkan ramai pemain muda memandangkan tidak mempunyai banyak pilihan sekali gus menepis dakwaan kononnya beberapa pemain diperap dan hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.
"Saya hendak tanya jika saya keluarkan Shivan Pillay (pemain pertahanan) maka siapa nak gantikan beliau. Jika saya tarik Muhammad Fadhil Idris (pemain tengah) dan perlukan siapa pula untuk kemudi bahagian tengah kerana saya perlu ada pemain yang boleh menggalas tugas diberikan.
"Ramai pemain kita terdiri daripada pemain muda yang belum banyak pengalaman berbanding Wan Zack Haikal (penyerang) yang kita sudah tahu peranan yang beliau perlu mainkan namun beliau pun masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram