Bahang makin terasa, fans anggap aksi Selangor-JDT ibarat 'El Clasico'


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Satu pertembungan menarik pasti disajikan antara kedua-dua pasukan.

TEWAS dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu kepada Johor Darul Takzim (JDT) pasti menghambat fikiran pemain-pemain Selangor sebelum dua pasukan itu bertemu dalam pusingan pertama saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Jumaat.

Ini sudah pasti akan menjadi tonik kepada anak didik Tan Cheng Hoe untuk membalas dendam dan seterusnya menjadi pasukan pencabar dalam perebutan juara Liga Super musim ini.

Dengan kapasiti penonton yang penuh, jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe menjangkakan pertemuan sengit pengendali kelahiran Kedah itu mengingatkan pemainnya supaya tenang dan sabar dalam usaha mereka untuk menang.

“Saya telah memberitahu pemain untuk mengawal emosi mereka semasa situasi tegang, yang dijangka berlaku permainan seperti ini. Saya tidak mahu melihat mana-mana daripada mereka mendapat kad merah.

“Saya percaya mereka boleh menentang JDT, walaupun mereka (pasukan lawan) mempunyai kelebihan," katanya.

Manakala penyokong-penyokong bola sepak pula menyifatkan perlawanan di antara Selangor dan JDT pada Jumaat boleh diibaratkan seperti 'El Clasico'.

"Perlawanan tumpuan malam ini (Jumaat) antara Selangor dan JDT pastinya menarik perhatian penyokong semua seperti pertemuan kelab dunia antara Real Madrid dan Barcelona di Liga Sepanyol," kata Zainal Yussof.

"Perlawanan yang sukar buat JDT malam ini (Jumaat), lebih-lebih lagi bermain di gelanggang lawan," jelas Jamal Kulai.

"Dengan prestasi semasa Selangor dan rekod tanpa kalah Cheng Hoe dalam Liga Super, pastinya menarik perhatian ramai untuk saksikan perlawanan ini," Morsyid Samad.

Selangor kini menduduki tangga ketiga tanpa sebarang kekalahan manakala JDT menang kesemua empat perlawanan terakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram