SELEPAS memungut tiga kemenangan berturut-turut dalam tiga perlawanan pertama Liga Super 2023, Sabah FC akhirnya keciciran mata apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang Sri Pahang FC pada Ahad.
Pada perlawanan yang diadakan di Stadium Darul Makmur, Pahang itu, skuad The Rhinos membuka tirai jaringan melalui tandukan pemain pertahanannya, Daniel Ting pada minit ke-13.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke 25 menerusi jaringan penyerang utamanya, Kpah Sherman.
Skuad The Rhinos kemudiannya memperoleh gol pendahuluan kedua hasil jaringan kaptennya, Park Tae-su selepas pemain pertahanan itu mendapat bola muntah hasil perebutan antara penyerang pasukan, Darren Lok bersama pertahanan Sri Pahang FC.
Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharuddin kerana kesalahan dilakukan sebelum jaringan berkenaan.
Daniel Ting menyumbang gol tunggal Sabah FC ketika menentang Sri Pahang FC pada Ahad. — Facebook/MalaysianFootballLeague
Aksi separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan seimbang dari segi penguasaan bola dengan Sabah FC dilihat lebih mengancam dengan beberapa peluang keemasan yang antaranya dinafikan kecekapan penjaga gawang pasukan tuan rumah.
Pada masa sama, perlawanan juga agak tegang dengan layangan kad merah yang diberikan pengadil perlawanan kepada pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee pada minit ke-68 perlawanan.
Layangan kad itu dipercayai diberikan kerana tindakan jurulatih kelahiran Melaka itu yang membantah keputusan pengadil dengan kata-kata tidak sepatutnya.
Dalam pada itu, rata-rata penyokong The Rhinos tampil mempersoalkan kualiti pengadilan dalam perlawanan yang didakwa gagal mengawal perlawanan dengan baik.
Kim Swee dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan pada minit ke-68 dipercayai selepas membantah keputusan pengadil. — Agensi
Mereka turut mendakwa beberapa keputusan dibuat pengadil dilihat tidak menyebelahi pasukan The Rhinos.
"OKS (Kim Swee) pun bingung sekejap siapa yang dapat kad merah, tahu-tahu dia yang kena," kata Sheldon Chang.
"Mutu pengadilan teruk. Berat kepada tuan rumah. Sampai bila pun susah mutu bola sepak Malayasia akan maju," tulis Mohd Razali Hussein.
"Pengadil kayu. Gol kedua Sabah kena batal konon sebab Darren 'foul'," ujar Melur Melati.
Turut bersetuju denga komen tersebut ialah Liaw Charlie yang berkata, "Mana ada tolak. Berdiri sama, lompat pun tidak. Lucu la."
"Onside pun dia kasi offside. Susah penjaga garisan tu," ujar Miun Dom Sibir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram