Nak main bola ke bertinju? 4 bintang Liga M asyik curi 'spotlight' angkara panas baran tengah padang


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mac 2023

Tangkap layar pergaduhan antara Safiq dan Azrif sewaktu perlawanan saingan Liga Super pada 2015 antara Selangor-JDT.

SEJAK dahulu dan sehingga kini, ada sahaja insiden yang akan mewarnai Liga Malaysia (Liga M) dan selalunya penyokong akan disajikan dengan kejadian pergaduhan, kontroversi serta babak-babak tangisan daripada pemain.

Dengan bermulanya saingan Liga M pada 24 Februari lalu juga pasti penyokong akan kembali melihat insiden membabitkan pemain yang mana akan menjadi modal bualan para peminat bola sepak domestik.

Meskipun semua sedia maklum bahawa sukan bola sepak sepatutnya dimainkan dengan semangat kesukanan dan rasa hormat namun insiden pergaduhan adalah seperti ramuan wajib dalam setiap kejohanan.

Malah, terdapat kontroversi pergaduhan melibatkan pemain yang dilihat semakin tegang apabila padang bola sepak bertukar menjadi gelanggang tinju.

Ada penyokong menyifatkan bahawa tercetusnya pergaduhan tersebut adalah disebabkan sikap segelintir pemain yang gagal mengawal emosi sehingga mendapat gelaran ‘si kepala angin’ dalam kalangan peminat Liga M.

Berikut Majoriti menyenaraikan empat bintang bola sepak tempatan yang seolah-olah bertukar ‘profesion’ menjadi peninju tengah padang dek kerana gagal mengawal emosi ketika beraksi:

1) Azrif Nasrulhaq (Sri Pahang FC)

azrif

Tangkap layar situasi tegang antara Azrif dan Faisal.

Tonggak pertahanan Sri Pahang FC, Azrif Nasrulhaq pernah terlibat dalam dua insiden pergaduhan sensasi ketika bersama skuad Tok Gajah dan sewaktu menyarung jersi Selangor FC pada 2015.

Baru-baru ini sewaktu aksi Sri Pahang bertembung Selangor FC bagi saingan Liga Super, pemain pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) itu dilihat mencekik leher Faisal Halim.

Meskipun insiden tersebut tegang namun kedua-dua pemain tidak dilayangkan kad dan keadaan berjaya dikawal oleh pengadil perlawanan.

Selain kejadian itu, sewaktu mewakili skuad Gergasi Merah, pemain berusia 31 tahun itu juga pernah bertindak untuk memukul kepala Safiq Rahim pada saingan Liga Super pada 2015 antara pasukan Selangor dan skuad Harimau Selatan.

2) Safiq Rahim (Johor Darul Takzim)

faisal safiq

Aksi Safiq menghentak kepala ke muka pemain skuad Penyu ketika itu, Faisal.

Pemain berpengalaman, Safiq Rahim dikenali sebagai serang yang panas baran dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan yang mana rata-ratanya menyaksikan beberapa insiden pergaduhan melibatkan bekas kapten Harimau Malaya itu.

Antara kontroversi yang masih segar dalam kalangan penyokong ialah pergaduhan dengan Faisal Halim dan insiden pergaduhan dengan Azrif pada 2015.

Pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC, pemain berusia 35 tahún dilayangkan kad merah susulan tindakannya apabila menghentak kepala ke muka pemain skuad Penyu ketika itu, Faisal.

Disebabkan kelakuan ganasnya itu, Safiq dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan oleh pihak Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selain daripada dua pergaduhan itu, Safiq juga pernah ditegur oleh legenda bola sepak negara, Khalid Ali kerana percaya menjerit sambil mengeluarkan kata-kata kesat kepada ‘haters’.

3) Jasmir Mehat (Bekas pemain Kelantan FC)

jasmir mehat

Antara aksi Jasmir sewaktu menentang Harimau Selatan. — Facebook/JDT

Siapa ingat bekas arkitek tengah Kelantan FC, Jasmir Mehat yang pernah mencetuskan kemarahan penyokong skuad The Red Warriors kerana sikap panas barannya sewaktu aksi Liga Perdana menentang JDT.

Pada saingan Liga Perdana 2022, tindakan kasar Jasmir menendang belakang pemain lawan, Aysar Hadi sehingga terjatuh di depannya menyebabkan dia terus dilayangkan kad merah.

Disebabkan insiden itu, skuad Kijang Merah terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-37 selepas Jasmir diarah keluar padang oleh pengadil perlawanan.

Tonggak berusia 29 tahun itu dianggap antara pemain berpotensi namun rata-rata penyokong berharap agar Jasmir dapat mengawal emosinya ketika bermain agar tidak merosakkan kariernya.

4) Faisal Halim (Selangor FC)

faisal2

Faisal sewaktu insiden bersama Azamuddin. — Facebook/KDAFC

Mendapat jolokan ‘budak jahat’ bola sepak, Faisal juga antara pemain yang sering terlibat dalam insiden pergaduhan dengan pemain lawan.

Antara pemain yang pernah bergaduh dengan pemain berusia 25 tahun itu ialah Azamuddin Akil, Hadin Azman, Safiq Rahim dan yang terbaharu Azrif pada perlawanan menentang Sri Pahang pada Ahad lalu.

Pada 2021, pemain berbadan kecil itu melakukan terjahan ke atas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Azamuddin Akil sehingga menyebabkan tongas berkenaan mencekak jersi Faisal.

Musim yang sama, Faisal yang ketika itu bersama Terengganu sempat 'bergasak' dengan Hadin Azman sehingga bekas pemain Kuala Lumpur City FC itu tiba-tiba mencekak jersinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram