Masalah kutipan kad merah melanda kem Perak FC, Teong Kim perlu bertindak drastik


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Haziq Puad dilayangkan kad merah ketika bertemu Kedah Darul Aman FC. — Facebook/KDA FC

PENYOKONG Perak FC bimbang dengan nasib pasukan yang meraih lebih banyak kad merah berbanding gol selepas tamat empat aksi Liga Malaysia musim ini.

Skuad The Bos Gaurus mengutip kad merah ketiga musim ini ketika disingkirkan Sri Pahang 2-1 pada pusingan pertama Piala FA.

Anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim sebelum ini menamatkan aksi dengan sembilan orang dalam perlawanan sulung Liga Super ekoran dua kad merah dilayangkan kepada pemainnya ketika dibelasah 4-1 oleh Kedah Darul Aman di Ipoh, Perak pada 25 Februari lalu.

Selepas empat perlawanan, tiga Liga Super dan satu Piala FA, Perak hanya menjaringkan dua gol.

Dalam menyelesaikan perkara itu, Teong Kim sebelum ini pernah menyuarakan padangannya dengan mengenakan denda berbentuk bayaran terhadap pemain Perak yang dilayangkan kad merah.

Bagaimanapun, pengendali berusia 59 tahun itu tidak mahu terburu-buru untuk mengambil keputusan itu bagi mengelakkan tekanan berlebihan terhadap anak buahnya.

Kad Merah

Tangkap layar statistik kad merah Perak FC musim ini. Facebook

Namun berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), ia menunjukkan Perak perlu mengambil tindakan terhadap pemain-pemain The Bos Gaurus jika tidak mahu menjejaskan taktikal pasukan.

Setakat ini, seramai tiga pemain yang sudah dilayangkan kad merah dalam perlawanan Liga Super dan Piala FA.

Pemain-pemain tersebut adalah, Haziq Puad, Sunday Afolabi dan Fadhil Idris.

Sementara itu, Teong Kim belum mahu menekan butang panik di sebalik keputusan Perak FC tersingkir dari saingan Piala FA.

Dia tetap yakin anak buahnya akan kembali bangkit dalam saingan Liga Super.

Menurutnya, kehilangan beberapa tonggak menyebabkan perancangan sedikit terganggu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram