Tunggu masa penuhi potensi sebenar, ini 4 aspek penting Sang Kenari sebelum menyinar


  • Podium
  • Selasa, 07 Mac 2023

Kekalahan pada aksi ketiga bertemu PDRM membayangkan betapa skuad Sang Kenari ketika ini masih belum memenuhi potensi sebenar. — Facebook/KedahDarul AmanFC

KEKALAHAN mengejut dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika menentang PDRM FC di laman sendiri pada Sabtu lalu seakan-akan memberikan 'wake-up call' kepada skuad Sang Kenari ketika liga baru memasuki minggu ketiga perlawanan.

Walaupun di atas kertas, prestasi awal pasukan Hijau Kuning boleh dikatakan agak positif apabila berjaya meraih enam daripada keseluruhan sembilan mata yang ditawarkan selepas tiga perlawanan setakat ini.

Namun, sebagai memegang status penghuni tetap Liga Super, jumlah mata yang dippungut itu sememangnya dijangkakan apatah lagi dua daripada tiga perlawanan pertama adalah menentang pendatang baru Liga Super 2023.

Pada perlawanan pertama, KDA yang bertandang di gelanggang lawan dilihat diberikan laluan mudah selepas pasukan Perak FC dihukum untuk beraksi dengan 10 pemain hampir di sebahagian besar perlawanan sekaligus menyaksikannya memperolehi kemenangan 4-1.

Sementara itu, kemenangan tipis diperolehi pada perlawanan kedua melawan Terengganu FC pula terhasil daripada gol tunggal perlawanan yabg diperolehi pada minit-minit akhir masa tambahan permainan hasil kesilapan pihak lawan.

Dalam perlawanan boleh dikatakan agak seimbang itu, KDA sedikit bernasib baik selepas tonggak tengah pasukan lawan yang juga Naib Juara Liga Super musim lepas itu membuat kesilapan mudah sehingga menyebabkan terhasilnya gol kemenangan tersebut.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan dilihat buntu untuk mendapatkan gol dalam tempoh 90 minit waktu perlawanan.

Justeru, dengan kekalahan yang direkodkan pada perlawanan ketiga, terdapat pihak berpendapat bahawa skuad Sang Kenari ketika ini masih belum memenuhi potensi sebenarnya.

Ini di sebalik beberapa rekrut baharu yang dibawa masuk bagi memperkuatkan KDA pada musim ini di samping turut mendapat sentuhan pengendali berprofil tinggi, Nafuzi Zain.

Ketika ini, skuad Sang Kenari dilihat masih belum menemui rentak untuk mendominasi perlawanan dan mencipta deretan peluang yang mampu menghasilkan gol bagi memastikan pasukan menang dengan selesa.

Berdasarkan tiga perlawanan pertama diharungi skuad Sang Kenari, Majoriti menggariskan empat aspek dilihat boleh ditambah baik bagi membolehkan pasukan yang ketika ini berada ti tangga keempat liga untuk tampil lebih menyakinkan.

1) Penyerang import perlu lebih tajam

Kedah 1

Penyerang KDA seperti Lira perlu lebih klinikal untuk menghasilkan jaringan gol daripada peluang yang tercipta dalam perlawanan. — Facebook/KedahDarul AmanFC

Pada musim ini, KDA dilihat memberikan tumpuan agak besar terhadap usaha mengukuhkan barisan hadapan skuadnya melalui melalui pembelian empat pemain import.

Ia terdiri daripada dua orang penyerang kelahiran Brazil iaitu Willian Lira dan Jonathan Balotelli, seorang pemain kelahiran Ghana, Ebenezer Assifuah dan penyerang daripada Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo.

Setakat ini, tiga daripadanya iaitu Lira, Balotelli dan Hidalgo dilihat sudah menjadi pilihan Nafuzi untuk membuat penampilan dalam skuad utama KDA dalam tiga perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, barisan penyerang skuad Sang Kenari hanya menyumbang dua daripada tiga gol dihasilkan dengan Lira dan Balotelli masing-masing menyumbang satu gol pada perlawanan pertama menentang Perak FC.

Dengan melihat beberapa deretan peluang dicipta KDA terutamanya dalam dua perlawanan terakhir, skuad Kedah seharusnya tidak mempunyai masalah untuk mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

Namun, barisan penyerang import Sang Kenari dilihat gagal membuat penyudah yang klinikal bagi memanfaatkan beberapa peluang keemasan untuk membolehkan pasukan mendahului.

Malah kegagalan untuk untuk menghasilkan sebarang jaringan pada peringkat awal permainan juga memberikan tekanan kepada skuad KDA sehingga menyebabkan berlakunya insiden kad merah membabitkan ketua pasukan, Manuel Ott pada minit ke-59.

Justeru, dalam perlawanan akan datang, ketiga-tiga penyerang import yang diberi peluang beraksi seharusnya lebih tajam dalam menterjemahkan setiap peluang dimiliki sekali gus mengurangkan tekanan kepada pasukan dalam usaha mencapai kemenangan.

2) Lebih berdisplin untuk kawal emosi

kedah 9

Pemain skuad KDA perlu lebih tenang dalam mengawal emosi ketika berdepan tekanan dalam perlawanan. — Facebook/KedahDarul AmanFC

Dalam setiap perlawanan bola sepak, keputusan dibuat pengadil adalah elemen yang berada di luar kawalan pasukan bersaing.

Tidak semua keputusan dibuat akan menyebelahi sesebuah pasukan dan sering kali apabila itu berlaku, pemain akan menyalahkan pihak pengadil yang sememangnya tidak boleh lari daripada sesekali terdedah untuk membuat kesilapan.

Perkara itu yang berlaku pada perlawanan KDA menentang PDRM Sabtu lalu.

Tidak cukup dengan insiden kad merah membabitkan Ott, pemain skuad kedah selepas itu dilihat tidak dapat mengawal fokus dan emosi apabila pengadil membuat beberapa keputusan tidak menyebelahi pasukan.

Gol jaringan kemenangan PDRM juga sepatutnya boleh dielakkan sekiranya pemain memberikan tumpuan untuk bertahan di sebalik keputusan dibuat oleh pengadil ketika perlawanan.

3) Berikan perlindungan kepada barisan pertahanan

kedah 6

Amirbek perlu memberikan lebih perlindungan kepada garisan pertahanan KDA. — Facebook/KedahDarul AmanFC

Dalam tiga perlawanan pertama, barisan penyerang lawan dilihat sering kali mudah untuk melepasi garisan pertahanan KDA dan seterusnya mencipta peluang bagi menjaringkan gol.

Meskipun skuad Sang Kenari kini hanya merekodkan dua bolos, namun situasi itu boleh menjadi lebih buruk sekiranya pasukan lawan mempunyai pemain dengan penyudah lebih berkesan.

Disebabkan itu, pemain tengah import bertahan KDA, Amirbek Dzhuraboev seharusnya memberikan turut memberikan tumpuan untuk memberikan lebih perlindungan kepada barisan pertahanan daripada mudah untuk ditembusi.

Sekiranya aspek ini tidak ditambah baik, ia bakal menyukarkan untuk skuad Hijau Kuning bagi bersaing dengan pasukan lain yang memiliki barisan penyerang berkualiti seperti Johor Darul Takzim (JDT).

4) Nafuzi perlu bangkitkan moral pemain

kedah 3

Nafuzi perlu memulihkan moral pemain yang terjejas ekoran kekalahan yang dialami di laman sendiri ketika menentang PDRM FC yang juga pendatang baharu Liga Super 2023. — Facebook/KedahDarul AmanFC

Kegagalan Ott untuk mengawal emosi sehingga menyebabkan beliau dilayangkan kad merah ketika menentang PDRM dilihat sememangnya menjejaskan moral pasukan dan menjadi antara penyumbang utama kepada kekalahan pasukan.

Sebagai ketua pasukan, Ott sepatutnya lebih bersikap profesional dan matang serta menjadi contoh kepada pemain lain dalam pasukan ketika berhadapan dengan tekanan.

Lebih memburukan lagi keadaan adalah insiden kad merah membabitkan Nafuzi selepas tindakannya terhadap pengadil.

Disebabkan itu, Nafuzi mempunyai tugas utama bagi memulihkan kembali moral pemain skuad Sang Kenari selepas tewas di tangan skuad Sang Saka Biru, apatah lagi ketika beraksi di laman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram