LIGA belum bermula tapi sudah ada beberapa isu yang mulai dibicarakan secara meluas oleh para penyokong dan antara perkara dibincangkan ialah status pemain pinjaman bagi beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Baru-baru ini, heboh isu pemain pinjaman Johor Darul Takzim (JDT), Liridon Krasniqi yang kini bersama Terengganu FC (TFC) tidak dibenarkan turun beraksi dalam perlawanan pertama Liga M iaitu aksi merebut kejuaraan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Jumaat ini.
Senario seperti bintang naturalisasi tanah air itu bukan kali pertama berlaku dalam arena bola sepak tempatan kerana sebelum ini ada beberapa pemain JDT yang tidak dibenarkan beraksi apabila menentang skuad Harimau Selatan yakninya pasukan majikan mereka.
Jika dilihat pada musim lepas ada juga pemain pinjaman dari JDT yang tidak diturunkan apabila berjumpa dengan pasukan lawan seperti Stuart Wilkin di Sabah FC dan Syafiq Ahmad ketika dipinjamkan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Stuart kini pemain pinjaman tetap Sabah FC. — Facebook/SabahFC
Umum mengetahui bahawa bayaran gaji kepada pemain pinjaman adalah melalui 'sharing basis' yang mana separuh dibayar oleh majikan asal manakala sebahagian lagi dibiayai kelab terbaharunya.
Legenda bola sepak kebangsaan, Khalid Ali tidak menafikan bahawa syarat membawa masuk pemain pinjaman ditetapkan oleh kedua-dua pasukan dengan persetujuan mereka namun pasukan majikan perlulah bersikap profesional.
Profesional yang dimaksudkan bekas penyerang bola kebangsaan itu adalah dengan membiarkan sahaja pemain pinjaman tersebut beraksi di setiap perlawanan tanpa ada sebarang pengecualian.
"Tapi as professional saya rasa tidak ada di dunia begini. Tiada di Eropah benda ini jadi. Tak pernah dengar dipinjamkan tak boleh main. Mungkin ini peraturan baharu tapi kita belajar lah.
"Ini adalah professional league jadi be professional. Jika bersetuju dengan syarat-syarat dan bayar gaji 50/50, janganlah letak syarat lain. Beri kebebasan kepada pemain. Saya tidak pernah lalui tapi saya tahu ia berlaku," katanya kepada Majoriti.
Liridon antara pemain yang dipinjamkan oleh JDT kepada pasukan lain Liga M musim ini. — Facebook/TFC
Khalid mendakwa, sepanjang dia terlibat dalam bola sepak profesional, pasukan Harimau Selatan yang memulakan pemain pinjaman namun baginya seeloknya pihak pasukan asal memberikan sahaja peluang untuk beraksi.
"Kita tidak boleh buat apa sebab dua-dua setuju tapi seelok-eloknya full release sahaja. Profesionalism kena ada untuk tingkatkan bola sepak kita jadi patutnya ia win win situation. Pemain dipinjamkan pun tidak mungkin khianati JDT," jelasnya.
Berbicara mengenai aksi Piala Sumbangsih, kehilangan Liridon pastinya mengganggu sedikit perancangan pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner namun skuad TFC akan mempunyai 'backup plan' untuk menggantikan bekas pemain KDA FC itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram