KEJAYAAN skuad golf Malaysia menamatkan kemarau emas 21 tahun di temasya Sukan SEA di Vietnam pada tahun lalu akhirnya membuka mata banyak pihak tentang potensi besar sukan itu.
Usaha keras Persatuan Golf Malaysia (MGA) melaksanakan program akar umbi selama bertahun-tahun ternyata berbaloi apabila ramai bakat muda dapat dilahirkan bagi mengharumkan nama negara dalam acara tersebut.
Pada edisi di Hanoi, Malaysia menamatkan penantian 21 tahun apabila memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa dalam acara golf.
Kali terakhir pasukan negara yang dibarisi Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin memenanginya adalah pada 2001 di Kuala Lumpur dalam acara berpasukan.
Dengan pencapaian pada tahun lalu, lebih ramai pihak tampil untuk menjayakan Program Pembangunan Remaja Kebangsaan MGA bagi memastikan skuad Malaysia terus cemerlang dalam acara golf di Sukan SEA yang sebelum ini didominasi Thailand.
Bagi merealisasikan impian itu, tiga syarikat iaitu Colla Group, Reneuco Berhad dan NJDP Training Grant Worth berganding bahu menyalurkan tajaan berjumlah RM80,000 bagi menyokong Program Pembangunan Remaja Kebangsaan MGA.
Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.
Mengulas tentang kerjasama itu, Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berharap kolaborasi yang dimeterai antara MGA dan tiga syarikat tersebut dapat menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan atlet golf remaja kebangsaan yang mampu bersaing dalam mana-mana kejohanan dunia.
Katanya, melalui beberapa siri kejohanan golf remaja yang diadakan sebelum ini seperti yang dianjurkan oleh Sport Excel, Srixon dan juga Kejohanan Remaja MGA, pihaknya yakin melalui kerjasama itu matlamat yang diidamkan akan tercapai.
Seperti Program Pembangunan Remaja Kebangsaan MGA ini yang akan berjalan selama enam bulan bakal memberi pendedahan kepada pemain-pemain remaja kebangsaan dalam mempersiapkan mental dan fizikal sebelum menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.
“Jadi hasil kerjasama dengan 0 Golf Academy ini, kita mengharapkan satu perancangan rapi agar matlamat untuk melahirkan lebih ramai pemain golf remaja bersaing di pentas dunia tidak tersasar,” ujarnya pada sidang media selepas majlis penajaan Program Pembangunan Remaja Kebangsaan MGA di Glenmarie Golf and Country Club, baru-baru ini.
Mohd Anwar juga berkata, MGA akan menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan matlamat program tersebut termasuk penganjuran lebih banyak kejohanan peringkat junior bagi tujuan pendedahan.
Namun jelasnya, MGA tetap menekankan soal pembelajaran dalam kalangan pemain untuk memastikan mereka tidak keciciran.
"Banyak kejohanan juga tidak bagus untuk junior kerana perlu seimbang (antara golf dan pelajaran," katanya.
Skuad golf Malaysia cemerlang pada Sukan SEA Hanoi pada tahun lalu.
Sasaran Sukan SEA Kemboja
Mengulas tentang temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di Kemboja pada Mei ini, Mohd Anwar berkata, MGA dijangka mengumumkan skuad golf dalam tempoh terdekat.
Skuad tersebut melibatkan senarai empat pemain lelaki dan tiga pemain wanita yang akan menggalas cabaran di temasya dwitahunan itu.
Soal sasaran, Mohd Anwar berkata, MGA meletakkan sasaran realistik iaitu menyasarkan hanya satu pingat emas sahaja pada kejohanan itu.
Ini kerana, katanya, kebanyakan pemain kebangsaan yang meraih dua emas pada Sukan SEA Hanoi lepas terikat dengan kejohanan di bawah Persatuan Atletik Kolej Nasional (NCAA) di Amerika Syarikat.
“Tahun ini, Majlis Olimpik Malaysia minta tiga emas, tetapi kami rasa ia mustahil kerana enam pemain kita yang bagus gagal menyertainya kerana terikat dengan kejohanan NCAA.
“Kami cuma berharap dapat satu emas tahun ini, mungkin kita sasarkan berpasukan, (kategori) individu tak dapat, berpasukan lelaki atau wanita,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram