[VIDEO] Anak jati Kelantan terus bersinar, jaringkan 2 gol bersama pasukan baharu


  • Podium
  • Isnin, 27 Feb 2023

Luqman Hakim memilih untuk berhijrah secara pinjaman selepas sukar mendapatkan minit permainan bersama KV Kortijk. — Agensi

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mencuri perhatian ramai apabila menjadi pemain kebangsaan pertama yang menyertai Liga Iceland.

Selepas jarang mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama KV Kortijk, pemain berkenaan memilih untuk berhijrah secara pinjaman ke kelab divisyen kedua, Njardvik FC.

Keputusan itu pada awalnya menimbulkan pelbagai persoalan daripada penyokong bola sepak tempatan yang berpendapat dia lebih sesuai untuk pulang ke Liga Super.

Tambahan pula, ada juga yang melihat perpindahan itu akan terus menyekat peluangnya bersama skuad Harimau Malaya apabila barisan kejurulatihan kebangsaan sukar untuk menyaksikan perkembangannya.

Namun, semangat pemain berusia 20 tahun itu seolah-olah tidak luntur apabila dia berjaya mencetak dua gol peribadinya dalam satu aksi persahabatan Njardvik FC.

Pertembungan bersama sebuah lagi kelab Iceland, Haukar FC itu memberikan Luqman peluang untuk beraksi bagi mendapatkan keserasian dengan rakan sepasukannya.

Menerusi sebuah video yang dikongsikan kelabnya itu, penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut mudah memanfaatkan peluang yang terhidang di hadapan pintu gol lawan.

Gol keduanya pula terhasil selepas penjaga gol Haukar FC melakukan kesilapan dengan melakukan hantaran yang tepat di kakinya selepas diberikan tekanan.

Ketika ini, laporan menyebut bekas pemain Harimau Malaya itu sedang dalam proses mendapatkan visa sebelum aksi liga bermula beberapa minggu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram