Respons menggalakkan cetus isu server Ticket Hotline, punca penyokong gagal beli tiket Piala Sumbangsih


  • Podium
  • Khamis, 23 Feb 2023

Musim lepas, JDT menewaskan Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

AWAL minggu ini kecoh mengenai ketidakpuashatian penyokong Johor Darul Takzim (JDT) untuk membeli tiket perlawanan Piala Sumbangsih 2023 antara skuad Harimau Selatan menentang Terengganu FC (TFC) yang diadakan pada Jumaat.

Berdasarkan kenyataan rasmi dari JDT di laman Facebook, pasukan tersebut memaklumkan bahawa Ticket Hotline sedang mengalami masalah akibat daripada respons yang sangat menggalakkan daripada penyokong.

Susulan daripada kejadian itu, pihak pengurusan Harimau Selatan juga memberitahu pihak Ticket Hotline sedang cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut bagi memudahkan urusan penyokong yang ingin mendapatkan tiket.

SUMBANGSIH

Piala yang bakal jadi rebutan JDT dan TFC.

"Kami telah dimaklumkan oleh Ticket Hotline bahawa mereka sedang cuba untuk menyelesaikan beberapa isu yang melanda server mereka sejak semalam (Rabu).

"Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim ingin menjelaskan bahawa Ticket Hotline yang menyediakan perkhidmatan penjualan tiket untuk perlawanan ini. Mereka merupakan syarikat rasmi Malaysia Football League (MFL) untuk penjualan tiket bagi semua perlawanan.

"Kami berterima kasih kepada penyokong yang berjaya mendapatkan tiket dan kami juga kesal kerana masih ada penyokong yang mengalami kesukaran untuk membeli tiket. Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera," memetik kenyataan tersebut.

Pada Rabu, laman rasmi JDT memaklumkan bahawa tiket bagi aksi antara kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim akan mula dijual menerusi https://tickets.jdtfc.com.my/ pada 22 Februari bermula pukul 2 petang.

Menurutnya, setiap penyokong sekadar boleh membeli empat tiket sahaja manakala para pemegang pas bermusim hanya perlu menunjukkan pas anda di pintu-pintu masuk untuk kemasukan ke stadium. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram