Ibarat 'new born' era swasta, Kedah tagih sokongan padu kepak Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Sokongan penyokong Kedah amat ditagih untuk membantu menjana pendapatan kelab. — Media KFA

DEBARAN Liga Super semakin terasa apabila sepak mula akan ditiupkan dalam tempoh kurang 24 jam lagi.

Perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) akan membuka tirai Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2023.

Banyak perancangan rapi dilakukan kelab-kelab yang terlibat dalam format baharu Liga M pada musim ini susulan penstrukturan liga oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ini antara merupakan langkah terbaik dalam memajukan liga bola sepak tempatan selepas usaha penswastaan liga giat dijalankan sejak beberapa tahun lepas.

Kedah Darul Aman (KDA) FC juga tidak terkecuali dan dilihat antara kelab paling banyak melakukan perubahan termasuk dari segi kejurulatihan serta pembelian pemain.

Jersi Kedah

Kedah tampil dengan jersi yang cantik dan menawan hati penyokong.

Di bawah pemilik baharu, Tan Sri Dr Mohd Daud Abu Bakar, skuad Hijau Kuning disebut-sebut antara pasukan yang mampu menamatkan dominasi JDT sekurang-kurangnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Kita harus akui bahawa Kedah ibarat 'newborn baby' dalam kancah Liga Super selepas era penswastaan sepenuhnya kelab-kelab Liga M.

Perkembangan ini dapat dilihat dengan keberanian Tan Sri untuk mengadakan siri jelajah luar negara bagi memastikan skuad Sang Kenari benar-benar bersedia mengharungi musim yang panjang tahun ini.

Begitu juga dengan kemampuan beliau menarik penaja-penaja besar seperti syarikat antarabangsa dari Qatar, Bin Zayed.

Penaja Utama

Bin Zayed menjadi penaja utama Kedah pada musim ini.

Antara perkara lain yang menarik perhatian adalah kualiti jersi baharu pasukan itu yang dilabel antara paling cantik dan kemas dalam kalangan kelab-kelab lain.

Pastinya, dengan kualiti dan tarikan pada jersi tersebut mampu menampung pendapatan kelab apabila ramai penyokong Kedah sanggup 'mengikat perut' demi pasukan kesayangan.

Kebiasaannya, banyak kelab menggunakan imej pemain untuk mendapatkan keuntungan dalam penjualan jersi pasukan.

Hal pemasaran sebegini bukan perkara baharu kerana kelab-kelab Eropah sudah lama mempraktikkannya seperti Real Madrid yang pernah membeli bakat muda dari Jepun, Takefusa Kubo demi menarik pasaran dari negara Matahari Terbit itu.

Malah lihat saja aura Cristiano Ronaldo ketika berhijrah ke mana-mana kelab termasuk yang terbaharu, Al Nassr.

Rakan Penaja

Antara rakan strategik Kedah pada musim 2023.

Setiap penyokong kelab yang menjadi persinggahan Ronaldo pasti membeli jersi bintang Portugal itu, sekali gus menjana pendapatan kelab terbabit.

Ini bermakna penjualan jersi dan merchandise original amat penting buat kelab untuk meneruskan survival dalam era penswastaan selain bergantung harap kepada penaja.

Bagi Kedah sendiri yang memiliki fan based yang amat besar dan kuat, pastinya penyokong setia sanggup melabur duit bagi membantu kelab dengan membeli jersi original sehingga diibaratkan 'laku bak goreng pisang panas'.

Ayuh kita bantu kelab yang tercinta ini dengan membeli barangan original KDA FC bagi membantu pasukan. Jangan lupa serbu Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu ini! — Majoriti

Budak Bendang, Penyokong Ketegaq Hijau Kuning.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram