Ketiadaan 'playmaker' JDT bagaikan rahmat buat TFC cipta kejutan aksi Piala Sumbangsih


  • Podium
  • Khamis, 23 Feb 2023

Aksi pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad ketika latihan sebelum aksi Piala Sumbangsih menentang TFC pada Jumaat. — Facebook

JOHOR Darul Takzim (JDT) mahu memulakan langkah musim 2023 dengan cemerlang apabila berazam mengekalkan kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada perlawanan Sumbangsih berdepan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat.

Bagaimanapun, Terengganu FC di bawah sentuhan Tomislav Steinbruckner ingin membuktikan sesuatu selain sedia bermain secara terbuka walaupun sedar tugas yang sukar dalam mencari kemenangan di gelanggang keramat lawan.

Dengan ketiadaan 'playmaker JDT', Natxo Insa, peluang itu nampaknya agak cerah buat skuad Sang Penyu mencipta kejutan pada perlawanan sulung Liga Super itu.

Penolong ketua jurulatih JDT, Pablo Richetti berkata, pemilihan kesebelasan utama bagi perlawanan itu agak sukar dibuat dengan mengambil kira peraturan yang telah ditetapkan termasuk penggunaan kuota pemain import.

88213092_1609241472572479_3940677191804649472_n

JDT telah memenangi tujuh kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah. — Facebook

“Siapa yang akan bermain dan siapa yang tidak akan bermain akan bergantung kepada banyak faktor, kami hanya buat keputusan di saat akhir.

“Setakat ini, hanya Naxto Insa tidak boleh diturunkan tetapi yang selebihnya boleh bermain bagi berdepan Terengganu.

"Natxo belum pulih sepenuh daripada kecederaan dan masih dalam proses pemulihan tapi ia tidak membimbangkan kerana kita mempunyai barisan seimbang," katanya pada sidang media praperlawanan Sumbangsih yang berlangsung pada Khamis.

Sementara itu, Steinbruckner tidak mahu pemain-pemainnya hanya sekadar memikirkan untuk bermain secara bertahan tetapi sedia mengimbangi corak permainan JDT.

Memandangkan perlawanan Sumbangsih bakal menjadi sepak mula untuk kalendar Liga Malaysia 2023, beliau mahu Terengganu bermula dengan langkah kanan selain satu simbol yang mereka mampu berada dalam kalangan pencabar kejuaraan.

ISKANDAR PUTERI, 23 Feb -- Penolong Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Pablo Ricchetti (dua, kiri) dan Ketua Jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner (dua, kanan) bersama Piala Sultan Haji Ahmad Shah sempena perlawanan Sumbangsih 2023 antara JDT menentang Terengganu FC esok pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.Turut hadir Kapten Pasukan JDT Jordi Amat (kiri) dan Kapten Pasukan Terengganu FC Sharul Nizam Roshasni (kanan).--fotoBERNAMA(2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ricchetti (dua kiri) dan Steinbruckner (dua kanan) ketika sidang media Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis. — Bernama

“Esok (Jumaat) sudah tentu saya mahu melihat bagaimana corak serangan yang akan ditampilkan JDT tetapi jika saya hanya melihat begitu, ini bukan sesuatu yang baik kepada saya serta pasukan.

“Saya perlu mengambil risiko untuk bermain secara menyerang jika mahu keputusan yang positif pada aksi Sumbangsih ini.

“Pemain-pemain saya tidak boleh tampil bertahan semata-mata dan harap pemain saya boleh beraksi dengan tahap keyakinan tinggi kerana ini adalah aksi pertama bagi musim baharu, ramai pihak akan melihat perlawanan ini.

327967441_3298946257036018_5638929823532369793_n

Aksi JDT menentang TFC amat dinanti-nantikan penyokong kedua-dua pasukan. — Facebook

“Terengganu bukan sebuah pasukan yang mengharapkan 11 sahaja pemain tetapi kami masih ada 20 pemain berkualiti walaupun kami tidak dapat menurunkan Faiz Nasir ekoran kecederaan selain ketiadaan Habib Haroon dan Liridon Krasniqi,” katanya.

Sebagai rekod, JDT telah memenangi tujuh kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah sejak musim 2015 hingga 2022 kecuali pada 2017 apabila tewas kepada Kedah melalui penentuan sepakan penalti (5-4) selepas terikat seri 1-1.

Musim 2001 menjadi satu-satunya kejuaraan tunggal yang dimiliki Terengganu apabila menumbangkan Perak 4-0 tetapi tewas 1-2 pada tahun berikutnya kepada Selangor. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram