BEKAS penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha terharu apabila bekas rakan sepasukannya di Johor Darul Takzim (JDT), Safee Sali menganggap dia sebagai gandingan terbaik sepanjang mereka beraksi di skuad Harimau Malaya.
Pemain yang mesra disapa Matyo itu berkata, sepanjang momen mereka beraksi bersama, Safee tidak pernah berkongsi perkara itu dan dia hanya mengetahuinya pada hari persaraan Safee pada Selasa.
"Dia tak pernah cakap dengan saya pun... tapi terima kasih kepada Safee sebab selama ni dia tak pernah bagitahu pun dengan saya malah kami pernah bergandingan ketika kejohanan Piala AFF 2016 di Myanmar.
"Saya pun tak banyak dapat beraksi dengan Safee tapi terima kasih sebab anggap saya the best pair sepanjang main di pasukan kebangsaan. Saya doakan dia berjaya lepas ni," katanya menerusi rakaman video Facebook HarimauMalaya.
Matyo terharu apabila Safee menganggapnya sebagai gandingan terbaik di Harimau Malaya.
Matyo mengakui berasa terkejut dengan pengumuman persaraan Safee, namun menghormati keputusan penyerang legenda negara itu dan mendoakan yang terbaik buatnya.
"Saya agak terkejut dengan persaraan Safee Sali kerana saya juga baru mengetahuinya. Tetapi saya hormati keputusannya, mungkin dia mempunyai sasarannya selepas ini.
"Saya doakan Safee Sali dapat meneruskan kejaya atau apa yang diimpikannya selepas ini," katanya.
Ditanya mengenai momen terbaiknya bersama bekas pemain KL City FC itu, Mat Yo berkata, kejohanan Piala AFF 2010 merupakan kenangan paling indah buat mereka berdua kerana membantu Harimau Malaya muncul juara.
"Saya rasa semua penyokong tahu mengenai momen itu. Setiap kali penyokong berjumpa saya atau Safee, mereka pasti akan ingat momen itu," katanya.
Katanya, meskipun mereka bermain di posisi sama, Safee dianggap sebagai penyerang yang handal menjaringkan gol manakala dia lebih bertindak dalam gerakan assist.
"Safee kelebihan dia lebih kepada menjaringkan gol, macam saya lebih kepada assist dan buka peluang kepada pemain lain. Safee dia scorer," katanya.
Sebagai rekod, Matyo dan Safee merupakan gandingan penyerang ketika Malaysia menjuarai Piala AFF 2010, di mana Safee turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak dengan lima gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram