Tawaran kontrak 'last minute', Selangor FC perjelas kontroversi 'pintu belakang' Orozco


  • Podium
  • Isnin, 20 Feb 2023

Orozco sebelum ini pernah beraksi di liga divisyen satu Colombia, Deportes Tolima. — Facebook

PEMAIN tengah kelahiran Venezuela, Yohandry Jose Orozco Cujia diumum sebagai pemain import kelapan dan terakhir Selangor FC menghadapi saingan Liga Super 2023.

Arkitek tengah baharu skuad Gergasi Merah itu sebelum ini pernah beraksi di liga divisyen satu Colombia, Deportes Tolima.

Penyertaan pemain berusia 31 tahun itu ke Selangor FC terpalit kontroversi selepas dilabel mata duitan dan menggunakan 'pintu belakang' berikutan membatalkan persetujuan ke kelab Colombia, Atletico Bucaramangademi demi berhijrah ke Selangor FC.

Mengulas dakwaan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, persetujuan yang dibuat Orozco dengan kelab tersebut hanya secara lisan dan bukan bertulis.

330799622_3466810223564271_1053692087408687991_n

Penyertaan Orozco Selangor FC terpalit kontroversi selepas dia dilabel mata duitan. — Facebook

"Dia tak sign lagi kontrak dengan kelab itu. Di sana (Colombia), mereka buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu baru sign pemain.

"Orozco hanya bersetuju dengan tawaran kontrak kelab berkenaan secara lisan tapi tiada hitam putih berhubung persetujuan terbabit.

"Secara lisan, dia setuju dengan klausa-klausa dalam kontrak seperti tawaran gaji dan sebagainya tapi dia tak sign kontrak on paper," katanya kepada Majoriti.

Johan Kamal ditemui Majoriti ketika sesi pengenalan skuad utama Selangor FC di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya, pada Sabtu.

Tambah Johan Kamal, tawaran Selangor FC tiba pada saat-saat akhir dan dia lebih tertarik untuk datang ke Liga Malaysia bagi menyertai kelab Merah Kuning.

"Orozco lebih menyukai projek yang ditawarkan oleh Selangor, jadi dia turunkan tandatangan untuk menyertai kelab Gergasi Merah.

"Dia pun nyatakan rasa minat untuk bermain di Asia setelah lama bermain dengan kelab Colombia kerana dia pun perlukan pertukaran suasana.

Johan berkata, persetujuan yang dibuat Orozco dengan kelab Atletico Bucaramanga hanya secara lisan dan bukan bertulis.

"Benda (tawaran kontrak) ni last minute sangat, mungkin sebab itu kelab sana marah sebab dah buat rundingan lisan dengan dia. Tapi dari segi undang-undang tiada masalah...kalau tak, kami pun akan berdepan masalah dan boleh disaman mereka," katanya.

Terdahulu beberapa laporan media Colombia menyebut Orozco mencapai kata sepakat untuk menyertai Atletico Bucaramanga pada 2 Februari lalu namun membatalkan persetujuan susulan menerima tawaran daripada sebuah kelab luar negara.

“Yohandry Orozco sangat hebat. Pada Isnin, dia cakap gembira kerana dapat bersama Atletico Bucaramanga. Hari berikutnya, dia makan tengah hari dengan presiden kelab.

"Pada masa menandatangani kontrak, dia menolak tawaran itu kerana mendapat tawaran lebih baik dari Malaysia," memetik laporan media Colombia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram