'Rakan' baharu del Valle dilabel mata duitan, sertai Selangor FC guna pintu belakang?


  • Podium
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Orozco sebelum ini pernah beraksi di liga divisyen satu Columbia, Deportes Tolima. — Instagram/Orozco

WALAUPUN sudah memiliki tiga pemain import baharu namun Selangor FC nampaknya masih belum puas dengan jumlah tersebut apabila difahamkan skuad Gergasi Merah bakal menambah seorang lagi tonggak baharu.

Sebelum ini, tiga awang import yang diumumkan menyertai Selangor ialah Rauf Salifu, Noor Al-Rawabdeh dan penyerang dari Colombia iaitu Ayron Del Valle bagi menjadi pengganti kepada bekas pemain, Herlison Caion.

Pemain yang dikhabarkan akan menyertai skuad Gergasi Merah ialah arkitek tengah Venezuela, Yohandry Orozco yang sebelum ini pernah beraksi di liga divisyen satu Columbia, Deportes Tolima.

Namun begitu, di sebalik kegembiraan menanti pengumuman rasmi dari Selangor FC mengenai kemasukan pemain berusia 31 tahun itu, terpalit berita kurang enak mengaitkan perpindahannya ke pasukan Lembah Klang tersebut.

Difahamkan pemain dari Venezuela itu sudah sudah mencapai kata sepakat untuk menyertai kelab Colombia, Atletico Bucaramanga pada 2 Februari lalu namun didakwa Orozco membatalkan persetujuan demi berhijrah ke Selangor FC.

Berdasarkan beberapa laporan media Colombia, perpindahan Orozco turut diumumkan kelab tersebut di laman media sosial mereka sebelum kelab Bucaramanga pada Rabu mengumumkan pemain tersebut memilih untuk keluar susulan menerima tawaran daripada sebuah kelab luar negara.

WhatsApp Image 2023-02-11 at 00.17.51

Orozco menolak tawaran dari Bucaramanga secara mengejut. — Instagram/Orozco

“Yohandry Orozco sangat hebat. Pada Isnin, dia cakap gembira kerana dapat bersama Bucaramanga. Hari berikutnya, dia makan tengah hari dengan presiden kelab.

"Pada masa menandatangani kontrak, dia menolak tawaran itu kerana mendapat tawaran lebih baik dari Malaysia," memetik laporan media Columbia.

Situasi berkenaan membuatkan ada penyokong kelab Atletico Bucaramanga mendakwa skuad Gergasi Merah menggunakan cara 'pintu belakang' bagi mendapatkan khidmat pemain yang meraih 25 penampilan antarabangsa bersama Venezuela itu.

Menjengah di ruangan komen laman Twitter Bucaramanga, penyokong kelab tersebut melabel Orozco seorang pemain 'mata duitan' berikutan sanggup memilih Selangor yang menawarkan tawaran lebih baik daripada kelab tersebut.

"Contoh yang buruk untuk pemain lain. Dia hanya inginkan duit. Baguslah dia pergi, dia akan menyesali perkara itu," kata penyokong Bucaramanga, JaimeUIS.

"Untuk situasi begini menunjukkan pentingnya pra-kontrak yang diperkenalkan FIFA. Sekurang-kurangnya jika pemain itu pergi, ada pampasan untuk kelab," kata seorang lagi penyokong, Carlos Buitrago.

WhatsApp Image 2023-02-11 at 00.19.16

Del Valle difahamkan masih belum dapat menyesuaikan diri di Malaysia. — Facebook/Selangor

Bagi penyokong tanah air, mereka melihat situsi tersebut adalah untuk membantu penyerang baharu Gergasi Merah, Del Valle supaya lebih cepat menyelesakan diri.

Sebelum ini, Cheng Hoe pernah berkata bahawa Del Valle masih memerlukan masa untuk menyelesakan diri dengan percaturan Selangor dan suasana Liga Malaysia (Liga M).

"Ayron Del Valle bermain di benua asing buat kali pertama dalam hidupnya. Bagi memudahkan isu adaptasi dengan Malaysia dan ketahanan mentalnya, normal bagi Selangor FC untuk membawa masuk Orozco dalam pasukan. Supaya ada 'kawan' dalam dan luar padang," kata penyokong Selangor, Marco Negeri.

Perkara itu ada betulnya kerana Orozco banyak beraksi di bumi Columbia seperti Del Valee dan mungkin disebabkan itu penyerang baharu Selangor itu akan lebih selesa dengan keberadaan pemain tengah tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram