PERLAWANAN persahabatan antara pasukan Bawah 20 tahun (B-20) dan Fiji di Stadium Utama Bung Karno (SUGBK), Jakarta, Indonesia diwarnai dengan insiden pergaduhan dan tumbukan melibatkan pemain pada Jumaat.
Insiden pergaduhan yang bertukar umpama gelanggang tinju itu membabitkan pemain dari kelab Persija Jakarta, Frengky Missa dan tonggak Fiji, Pawan Pratap Singh dan seterusnya beberapa pemain lain juga mulai masuk campur.
Kekecohan berlaku apabila Frengky cuba merampas bola daripada Pawan sehingga tonggak Fiji itu melemparkan tumbukan dengan tangan kanannya dan seterusnya melepaskan satu lagi tumbukan yang membuatkan pemain gantian Indonesia itu rebah di atas padang.
Tidak puas hati melihat rakan sepasukannya dipukul, penyerang Indonesia, Hokky Caraka melakukan serangan balas sehingga memaksa pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepadanya.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Hokky yang menghadiahkan penumbuk ataupun sebaliknya dan pemain itu sendiri nampak terkejut kerana dilayangkan kad merah serta diarah untuk keluar padang.
Hokky mendakwa dia tidak melakukan sebarang serangan fizikal melampau terhadap pemain Fiji itu.
Perlawanan Indonesia menentang Fiji dalam perlawanan persahabatan kali ini ternyata sangat tegang yang mana sebanyak empat kad merah dikeluarkan oleh pengadil, Thoriq M Alkatiri.
Dalam perlawanan itu, pasukan Kebangsaan Indonesia B-20 menang 4-0 ke atas Fiji dengan empat gol Indonesia hasil jaringan Arkhan Fikri, Kakang Rudianto, Resa Aditya dan Hokky Caraka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram