LEVY Madinda melengkapkan senarai tiga import Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini yang akan bermula 24 Februari depan
Pemain berusia 30 tahun yang berasal dari Libreville, Gabon itu bukan asing dalam saingan Liga M kerana pernah beraksi bersama pasukan Sabah FC dan Johor Darul Takzim (JDT).
Siapa sangka pemain itu pernah beraksi menentang kelab gergasi, Barcelona ketika bersama bekas majikannya, Celta de Vigo pada 30 Mac 2013.
Semasa perlawanan itu, Madinda turun dalam kesebelasan utama menentang nama-nama bintang termasuk pemenang enam kali Ballon d’Or, Lionel Messi dan Neymar Jr.
Madinda bermain dalam kesebelasan utama NSFC menentang KL City ketika aksi pramusim pada Selasa. — Facebook
Meskipun sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2, namun Madinda memperoleh pengalaman berharga yang boleh dimanfaatkan sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
“Saya benar-benar bertuah kerana dari peringkat awal karier, bakat saya dapat membawa saya ke liga kompetitif seperti La Liga,” kata Madinda kepada Goal.
Madinda berkata, sebagai pemain muda ketika itu, memang menjadi impiannya untuk bermain menentang kelab-kelab gergasi seperti Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid.
"Pengalaman itu bukan sahaja meningkatkan permainan, tetapi juga mengubah mentaliti saya," kongsinya.
Madinda beraksi dalam kesebelasan utama skuad antarabangsa Gabon. — Agensi
Mengimbau kembali bagaimana Madinda dan Messi bertemu buat pertama kali di Estadio Municipal de Balaídos, Vigo, di Sepanyol pada 2013, Madinda berkata, Messi memiliki karakter dan persona yang mengagumkan.
"Dia mesra dengan semua orang, malah dia banyak tersenyum kepada kami (pasukan lawan)," katanya.
Menurut Madinda, dia berhasrat untuk menukar jersi dengan Messi usai perlawanan namun tidak berpeluang berbuat demikian.
Sebaliknya, Madinda dapat menukar jersinya dengan seorang lagi nama bintang, Andres Iniesta.
Madinda pernah ditugaskan untuk merantai pergerakan Iniesta. — Agensi
"Saya tidak boleh melupakan Iniesta. Ini kerana saya ditugaskan oleh ketua jurulatih untuk mengamati pergerakannya sepanjang perlawanan.
"Begitupun dia sangat sukar untuk diawasi. Sebagai pemain, dia amat sempurna. Permainannya ringkas namun dia tidak mudah hilang bola.
"Pada akhirnya, saya berasa ia memberi pengajaran yang bagus dalam bola sepak," katanya.
Pengalaman tersebut nyata memberikan satu kelebihan buat Madinda apabila dia turut dipanggil membarisi skuad antarabangsa Gabon ketika kempen kelayakan Piala Dunia menentang Libya dan Egypt.
Madinda pernah beraksi bersama Sabah FC pada musim lepas. — Facebook
Beraksi bersama penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang di skuad antarabangsa Gabon, Madinda turut menjadikan rakan sepasukannya itu sebagai pemain contoh.
"Saya mengenali Aubameyang sejak 2011 dan disenangi pemain lain dalam pasukan kerana karakternya.
"Sebagai salah seorang pemain terbaik di Afrika dan dunia, dia sangat merendah diri," katanya.
Sementara itu, ketika mula-mula menerima tawaran untuk beraksi di Liga Malaysia pada musim lepas, Madinda berkata, dia agak buntu.
Natxo Insa menyakinkan Madinda untuk menyertai Liga M. — Facebook
Katanya, dia merujuk bekas rakan sepasukannya, Natxo Insa yang bermain dengan Johor Darul Takzim (JDT).
"Natxo menyakinkan saya untuk menyertai Liga Super dan selepas itu, saya 'terbang' ke Kota Kinabalu, Sabah," katanya.
Di Sabah FC, Madinda mencetak empat gol dan dua bantuan gol menerusi 16 penampilan sepanjang musim lepas.
Penghijrahan Madinda ke NSFC musim ini pastinya bakal membantu The Jangs mendapatkan kedudukan selesa di carta liga selepas menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik carta liga musim lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram