LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) terus komited bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memastikan misi sifar isu tunggakan gaji dalam kancah bola sepak Liga Malaysia (Liga M) berjaya dilaksanakan sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, tindakan tegas yang dikenakan terhadap pasukan terpalit dengan isu berkenaan berjaya menurunkan daripada lebih 200 kes sejak 2018 kepada kira-kira sembilan hingga 13 kes aktif sahaja ketika ini.
"Usaha untuk mengurangkan jumlah kes tunggakan gaji berjaya dilaksanakan. Kita juga melakukan beberapa keputusan penting pada tahun lepas yang menyaksikan lesen kebangsaan tidak dikeluarkan kepada Melaka United dan Sarawak United atas sebab-sebab ini.
"Jadi, jelas MFL dan FAM amat serius untuk menghentikan stigma Liga M dengan isu tunggakan gaji ini," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian BubblesO2 selaku rakan penaja rasmi Liga M musim ini di Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurut Stuart, rata-rata pasukan kini lebih peka terhadap aspek pengurusan kewangan mereka supaya tidak terpalit dengan isu tunggakan gaji sekali gus memastikan pasukan dapat kekal bersaing dalam Liga M.
"Jadi untuk lesen kebangsaan musim depan akan diukur berdasarkan isu tunggakan gaji. Menerusi kerjasama dilakukan bersama ketua pegawai eksekutif kelab serta beberapa pendekatan yang akan digunakan, saya yakin stigma ini dapat dihapuskan.
"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan pasukan dan tidak mahu perkara ini berlaku lagi. Semua pasukan tahu mengenai kepentingan lesen kebangsaan ini," katanya.
Stuart berkata demikian sebagai mengulas tentang kenyataan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini yang mahu tindakan lebih ekstrem diambil ke atas mana-mana pasukan dalam saingan Liga M berdepan kes tunggakan gaji bermula musim ini.
Menurut Hamidin, tindakan lebih berat perlu diambil dengan mengikut peraturan dan garis panduan pertandingan Liga M yang ada di bawah lunas undang-undang MFL.
Dalam pada itu, Stuart berkata, pihaknya berhasrat untuk kembali menggerakkan Program Kawalan Ekonomi (ECP) bagi merangsang ekonomi yang lebih baik, sekali gus memperbaiki mutu liga bola sepak tempatan.
Tujuan ECP adalah untuk mewujudkan peraturan belanjawan, kriteria, prosedur dan templat bagi kelab-kelab bola sepak di Malaysia mematuhi peraturan, selain mengelakkan mereka berbelanja lebih daripada kemampuan.
"Pelaksanaan ECP ini terhenti ketika dunia dilanda pandemik, jadi MFL sedang berusaha untuk mengetengahkan semula pada 2024," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram