Thierry Henry ada satu permintaan selepas Arsenal tumpas kepada City


  • Podium
  • Khamis, 16 Feb 2023

Legenda Arsenal itu mendesak agar pasukan itu tidak terkesan ditewaskan City dan bangkit dalam aksi berdepan Aston Villa pada Sabtu ini. — Agensi

LEGENDA Arsenal, Thierry Henry mengingatkan agar pemain skuad The Gunners tidak terlalu terkesan selepas mencatatkan kekalahan 1-3 di tangan Manchester City pada awal pagi Khamis.

Kegagalan anak-anak buah Mikel Arteta untuk membawa pulang sebarang mata dalam pertembungan tersebut menyaksikan mereka tergelincir daripada kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagi Henry, mereka masih mempunyai peluang untuk kembali ke tangga teratas sekiranya beraksi dengan lebih baik ketika berdepan Aston Villa di tempat lawan pada Sabtu.

"Sejak permulaan musim lalu, Manchester City sering memberikan respons terbaik terhadap sebarang keputusan yang dicatatkan Arsenal. Jadi, tidak bolehkah pemain terus bertenang untuk baki musim ini?

"Anda perlu bersemangat untuk berdepan Aston Villa dan cuba mendapatkan keputusan terbaik walaupun bermain di laman lawan," katanya, seperti dilaporkan CBS Sports Golazo.

The Gunners tewas 1-3 kepada pasukan kendalian Pep Guardiola menerusi jaringan Kevin De Bruyne, Jack Grealish dan Erling Haaland yang mana menyaksikan Arsenal gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir EPL.

Aksi di Stadium Villa Park pada Sabtu menyaksikan pasukan kedua liga untuk berdepan bekas pengurus mereka, Unai Emery yang membimbing mereka pada musim 2018/19.

"Anda perlu bertenang kerana Arsenal kalah kepada sebuah pasukan yang cukup hebat. Kekalahan itu tidak memaksa anda untuk terus mensia-siakan pencapaian musim ini," kata Henry.

Sepanjang hampir lapan musim bersama kelab London itu, Henry berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian, termasuk menjulang dua trofi EPL dan muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram