KJ mahu letakkan JDT sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara


  • Podium
  • Khamis, 16 Feb 2023

Khairy (kiri) ingin membalas kepercayaan TMJ bersama kelab itu.

PENGARAH baharu Johor Darul Takzim (JDT), Khairy Jamaluddin berjanji akan melakukan yang terbaik untuk meletakkan kelab itu sebagai antara yang terbaik di Asia.

Ia merupakan harapan yang disampaikan kepada pemilik pasukan, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang melantiknya pada Rabu.

"Insya-ALLAH, saya akan membalas kepercayaan dengan melakukan yang terbaik untuk meneruskan kecemerlangan JDT selain membantu remaja dalam negeri ini.

"Saya akan menggunakan pengalaman saya untuk membantu mencapai cita-cita dan hasrat TMJ untuk menjadikan kelab ini sebagai kelab terbaik di Asia Tenggara," katanya.

Selain dilantik sebagai Pengarah, Khairy turut diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Penasihat Belia Johor untuk musim akan datang.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Rembau itu dilucutkan keahlian bersama Umno selepas gagal memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Di samping pernah memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan, Khairy juga cukup sinonim dengan landskap bola sepak tempatan apabila pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram