KELANTAN FC mendapatkan khidmat seorang lagi pemain import dari Sepanyol bagi menguatkan pasukan menjelang saingan Liga Super 2023 yang dijadual bermula pada 24 Februari ini.
Kelantan FC dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan pemain pertahanan berusia 32 tahun, Miguel Angel Garrido Cifuentes, telah menandatangani kontrak bersama pasukan itu selama semusim, semalam.
Miguel Angel merupakan pemain import keenam Kelantan FC.
"Miguel Angel akan menjalani latihan bersama pasukan untuk menyesuaikan diri dengan barisan pemain dan kami berharap pengalamannya beraksi di pentas bola sepak Sepanyol dan Eropah mampu memberi impak besar kepada Kelantan FC musim ini," menurut kenyataan itu.
Ramai penyokong skuad The Red Warriors (TRW) menantikan aksi sulung Miguel Angel bersama Kelantan terutamanya dengan reputasi tinggi yang dimiliki beliau apabila dilaporkan pernah merantai pergerakan beberapa penyerang berkelas dunia seperti bintang Real Madrid, Vinicius Jr pada aksi La Liga.
Sebelum ini, lima pemain import sah menandatangani kontrak selama semusim bersama Kelantan FC iaitu Kim Ming-kyu dan Kang Eui-chan (Korea Selatan), Christian Mangaron Rontini (Itali-Filipina), Mario Arques (Sepanyol), dan Nuha Marong Krubally (Gambia). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram