SELEPAS hanya menduduki tangga kelima Liga Super 2022, Selangor FC dilihat sedang melakukan persiapan rapi bagi membantu mereka berada di tahap lebih baik selepas ini.
Kejayaan untuk mendapatkan khidmat Khuzaimi Piee, Faisal Halim dan V Ruventhiran membuktikan keazaman yang dimiliki pihak pengurusan dalam membantu ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.
Selain itu, skuad Gergasi Merah mengorak langkah baharu dengan membawa masuk pemain antarabangsa Jordan, Noor Al-Rawabdeh yang memiliki kualiti tersendiri sebagai jeneral tengah pasukan.
Berdasarkan aktiviti tersebut, ia membuktikan bahawa pasukan Lembah Klang itu sedang mendapatkan nafas baharu, sekali gus membolehkan mereka bersaing dengan lebih baik pada 2023.
Namun, di sebalik pemindahan pemain itu, Selangor FC juga kelihatan masih tempang di beberapa posisi, terutamanya di jentera serangan yang masih belum dibaik pulih.
Keputusan untuk tidak mengekalkan khidmat penjaring terbanyak skuad, Herlison Caion diikuti pemindahan keluar penyerang berusia 28 tahun, Shahrel Fikri Mohd Fauzi ke Negeri Sembilan FC.
Danial Asri merupakan satu-satunya penyerang senior dimiliki skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Jadi, juara 33 kali Piala Malaysia itu hanya memiliki Danial Asri sebagai penyerang senior dan kekurangan terbabit pastinya akan merencatkan perancangan Cheng Hoe.
Sebelum ini, khabar angin mengatakan mereka berminat untuk membawa pulang bekas penyerang, Ifedayo Olusegun selepas dia tidak lagi terikat dengan Melaka United.
Bagaimanapun, cadangan tersebut seakan-akan ditolak sebahagian besar penyokong dengan usianya yang semakin lanjut selain berharap agar pihak pengurusan untuk tidak memandang ke belakang.
Oleh itu, Selangor FC pastinya bercita-cita untuk menandatangani seorang penyerang yang bukan sahaja berstatus import, malah mempunyai kebolehan dalam mengulangi pencapaian Caion musim lepas.
Bagi seorang penyokong menerusi laman Facebook Penyokong Setia Selangor "More Than A Fan", terdapat calon yang dilihat memiliki kredibiliti dan kebolehan untuk memikul tanggungjawab sebagai penyudah berkualiti.
Pemain kelahiran Paraguay, Danilo Santacruz dilabel mereka sebagai pemain import yang sesuai dibawa masuk berdasarkan statistiknya musim-musim lalu.
Santacruz memiliki rekod cemerlang sepanjang beraksi di Paraguay. — Agensi
Dalam 19 penampilan Primera Division, penyerang berusia 27 tahun itu berjaya menyumbang lapan gol di samping mencipta dua hantaran untuk membantu pasukannya berada di tangga keenam.
Selain terkenal dengan kelincahan dalam mengawal bola, Santacruz juga difahamkan kerap turun untuk mendapatkan bola dan memberikan tekanan kepada pertahanan lawan.
Tetapi, berdasarkan tinjauan dalam ruangan komen hantaran tersebut, rata-rata penyokong masih kurang yakin akan pemain itu selepas kerap terperdaya dengan rekod jaringan sebelum ini.
"Terbaik, tetapi perlu diuji dalam dua atau tiga perlawanan sebelum ambil keputusan untuk tandatangani. Contohnya, seperti kita hendak bawa Hyuri dahulu. Nampak hebat, tetapi selepas sertai, cukup mengecewakan," kata Mohd Fazdil Abdullah.
"Setiap kali datang sahaja, pasti menghampakan. Mana tak jatuh Selangor? Ejen kerap membuat keputusan yang tidak berasas, sepatutnya tengok dahulu cara permainan sebelum bawa masuk," kata Mat Senje.
"Aku harap satu je, janganlah kita tertipu seperti sebelum-sebelum ini. Tidak kisahlah hendak dapatkan sesiapa, cuma jangan kena scam," kata Muhammad Hamdi Amir Hamzah.
Sebelum ini, media Paraguay melaporkan Santacruz memiliki potensi besar untuk mengembangkan kariernya di luar negara selepas membuktikan kebolehannya bersama Nacional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram