Bekas penyerang JDT, Kelantan berhasrat bersara bersama Indra Putra di Liga M


  • Podium
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Ghaddar pernah membantu Kelantan memenangi kejuaraan 'treble' pada 2012. — Facebook

BEKAS penyerang legenda Kelantan, Mohammed Ghaddar dikhabarkan berminat untuk beraksi di Liga Malaysia sebelum bersara dari dunia bola sepak.

Khabar angin tersebut dimuat naik oleh seorang penyokong bola sepak, Jay Thai di media sosial apabila dia menyatakan Ghaddar berminat untuk kembali bermain dan bersara bersama Indra Putra Mahayuddin.

"Ghaddar, dikhabarkan dia sedia bersara di Kelantan United bersama kawannya Margaro Gomis dan Indra Putra Mahayuddin," ujarnya di Facebook.

Tangkap layar yang dikongsikan Jay Thai.

Ghaddar pernah beraksi bersama Margaro Gomis dan Indra Putra pada 2017 yang mana ketika itu pasukan Kelantan diuruskan usahawan terkenal Bibi Ramjani sebelum kehadiran Norizam Tukiman pada 2020.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, kelab terakhir yang diwakili pemain berusia 39 tahun ini ialah Nejmeh SC di Lebanon.

Sepanjang beraksi di Liga Malaysia, bekas penyerang kebangsaan Lebanon ini pernah mewakili Felda United, Kelantan FA dan Johor Darul Takzim (JDT).

Hanya beberapa musim di Liga M, Ghaddar dikenali sebagai penyerang yang amat digeruni di dalam kancah saingan bola sepak Malaysia.

JDT tebus kontrak Ghaddar dengan harga yang sangat lumayan. Facebook/Johor DT

Ghaddar pernah menjadi permain termahal Liga Super apabila ketika itu JDT menebus kontraknya dengan harga yang sangat lumayan.

Sepanjang 79 perlawanan bersama tiga buah pasukan di Liga M, Ghaddar berjaya menjaringkan 44 gol sebelum kembali ke Lebanon dan beraksi di negeri kelahirannya itu.

Sebelum ini, pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman menegaskan desas-desus pengambilan pemain tempatan dan import baharu di media sosial adalah tidak benar sama sekali kecuali melalui pengumuman rasmi.

Menurutnya, selagi tiada pengumuman dari TRW Kelantan atau beliau sendiri maka pemain import atau tempatan yang dikaitkan adalah tidak rasmi.

"Saya pun pelik banyak betul khabar angin hingga dikatakan saya hendak bawak balik Ghaddar," katanya di Facebook.

Ghaddar pernah mengecapi musim gemilang bersama Kelantan. Agensi

Ujarnya, beliau langsung tidak mengetahui mengenai TRW akan menggunakan kembali khidmat pemain kelahiran Lebanon itu.

"Sedangkan saya sendiri tak tahu. Inilah uniknya TRW. Pemain-pemain yang dibawa masuk adalah dari pilihan pasukan pemantau.

"Saya hanya berikan kata terakhir ya atau tidak sahaja sebelum pengumuman rasmi oleh kelab Kelantan FC," katanya.

Pemain berusia 39 tahun itu pernah mengecapi musim gemilang bersama Kelantan termasuk membantu skuad itu memenangi kejuaraan 'treble' pada 2012. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram