Man United raih 3 mata tapi ada ‘masalah besar' ganggu Ten Hag


  • Podium
  • Isnin, 13 Feb 2023

Ten Hag turut berbangga dengan prestasi cemerlang Rasford bersama Man U setakat ini. — Agensi

PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag mengakui suasana yang hebat ketika skuadnya menang 2-0 ke atas Leeds United namun dia tidak terkesan dengan permusuhan antara dua kelab itu.

Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho menjadi hero kepada kemenangan The Red Devils di Elland Road itu selepas mereka menjaringkan gol pada 10 minit terakhir perlawanan.

Bagaimanapun, keputusan itu dicemari oleh laungan kesat daripada kedua-dua kumpulan penyokong.

Kedua-dua kelab mengeluarkan kenyataan bersama selepas sekumpulan kecil penyokong bertukar-tukar laungan sorakan tentang bencana Munich 1958 dan kematian dua penyokong Leeds di Istanbul pada 2000.

“Saya tidak merasakan sebarang permusuhan. Saya fikir ia adalah suasana yang hebat dalam saingan seperti ini. Kami sangat menikmatinya," kongsi Ten Hag.

Mengulas mengenai Rashford yang berjaya meneruskan prestasi cemerlangnya dengan tandukan pada perlawanan berkenaan, Ten Hag berkata, pemain antarabangsa England itu meyakinkannya tentang keupayaan dan potensi sejak pertama kali melihat penyerang berusia 26 tahun tersebut bermain.

“Saya yakin dari saat pertama. Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengannya.

"Saya fikir saya boleh mendapat lebih daripada dia. Dia mempunyai potensi yang tinggi," katanya.

Mengenai kemenangan menentang Leeds, Ten Hag memberitahu Sky Sports bahawa pasukannya mengalami masalah besar dalam mengawal ketenangan dalam perlawanan derbi tersebut.

Bukan itu sahaja, pengendali dari Belanda itu masih memikirkan kehilangan mata ketika menentang Leeds di Old Trafford pada Rabu lalu.

“Apabila anda datang ke Elland Road dan mengutip tiga mata, anda gembira dan berpuas hati.

“Tetapi saya masih sedikit kecewa selepas kehilangan mata menentang mereka pada Rabu (di Old Trafford) kerana ia tidak sepatutnya berlaku," jelasnya.

Sementara itu, bagi pemangku jurulatih Leeds, Michael Skubala menegaskan bahawa dia berbangga dengan prestasi anak buahnya meskipun tewas di laman sendiri.

“Saya amat berbangga dengan pasukan saya. Saya fikir kami lebih banyak mengawal permainan dan cuba memenanginya," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram