Hannah percaya Azeem mampu hadiahkan pingat emas Olimpik buat negara


  • Podium
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Muhammad Azeem mewakili Universiti Auburn mencatat 6.62 saat (s) pada aksi final untuk menamatkan saingan di tempat kelima.

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan atlet pecut Muhammad Azeem Mohd Fahmi boleh diletakkan sebagai sandaran pingat emas negara pada Sukan Olimpik suatu hari nanti.

Hannah berkata, ia berdasarkan prestasi semasa atlet berusia 18 tahun itu yang memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter (m) miliknya pada Kejohanan Tiger Paw Invitational di Amerika Syarikat, pada Sabtu.

"Saya sangat bangga dengan pencapaian dia. Azeem adalah bintang meningkat naik dan diharapkan suatu hari nanti, dia boleh memberikan kita pingat emas di Sukan Olimpik,” katanya ketika ditemui pemberita di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, pada Sabtu.

hannah yeoh

Hannah berharap agar Muhammad Azeem mampu memberi pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik.

Pada perlumbaan berlangsung di Universiti Clemson, South Carolina itu, Muhammad Azeem mewakili Universiti Auburn mencatatkan 6.62 saat (s) pada aksi final untuk menamatkan saingan di tempat kelima, iaitu 0.01s lebih pantas daripada rekodnya yang dilakukannya pada Kejohanan Terbuka Texas Tech, Januari lepas.

Dalam pada itu, Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mendapatkan peruntukan mencukupi menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini bagi memastikan lebih banyak kejohanan dapat dianjurkan buat atlet negara, sepertimana dilakukan KOM.

"Hari ini saya datang untuk melihat sendiri kejohanan ini. Ini sesuatu yang kita perlukan, apabila lebih banyak kejohanan dianjurkan, ia boleh membantu kita mengenal pasti bakat-bakat baharu.

"Selain itu, atlet juga boleh menilai prestasi dan memperbaiki ranking mereka. Ini sesuatu saya sedang usahakan menjelang bajet kali ini. Untuk pastikan kita sentiasa mempunyai peruntukan yang cukup untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan," katanya.

Katanya, menerusi sesi libat urus bersama atlet sebelum ini, mereka menyatakan hasrat untuk terlibat dalam lebih banyak kejohanan dalam usaha memperbaiki prestasi masing-masing. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram