KEJOHANAN FIFAe Club Series 2023 akhirnya membuka tirai buat seluruh pasukan-pasukan eSukan FIFA memulakan cabaran baharu pada tahun ini.
Pasukan-pasukan eSukan yang menyertai acara FIFA di peringkat antarabangsa mahupun tempatan pasti sudah bersedia dengan kejohanan tersebut.
Begitu juga GBX Esports (GBX) yang pernah mengharumkan nama negara dengan mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari Malaysia layak ke pusingan kalah mati dalam kejohanan FIFAe Club World Cup 2022.
Ketika itu, GBX diundi bersama-sama lima pasukan gergasi kumpulan D yang mana mereka adalah pasukan Neo, Gullit, Dux America, FNatic dan Dire Wolves.
Pasukan Riders dari Sepanyol menewaskan SAF dengan agregat 2-1 sekali gus merebut hadiah bernilai USD 300,000 (RM1.2juta). — Agensi
Apabila ditanya bagaimanakah persiapan bagi mengharungi musim ini, Pengurus Pasukan GBX, Aris Danial, 24, berkata, mereka teruja dan sudah bersedia dengan pemain-pemain sedia ada.
"Latihan dan analisa cara permainan pihak lawan merupakan diantara persediaan utama buat pasukan JDT|GBX bagi mengharungi saingan FIFAe Club Series 2023.
"Tahun ini, JDT|GBX menghantar dua pasukan bagi bersaing untuk merebut dua slot ke pusingan Akhir FIFAe Club World Cup.
"Oleh itu, kesemua pemain FIFA23 JDT|GBX yang terdiri daripada AkmalJHD, Halowake, Chamack, Eggsy, Ayen dan ImranDeen bakal bersaing di kejohanan ini," katanya pada Majoriti.
GBX Esports pernah menyertai kejohanan terbesar FIFA iaitu FIFAe Club World Cup.
Menurut Aris, kedudukan seeding memberikan kelebihan buat pasukan serta dia turut mendedahkan pasukan yang akan beri saingan sengit buat mereka.
"Menduduki tangga pertama seeding di Division 1 memberikan kelebihan untuk division bracket.
"Perkara itu semestinya tidak memberikan kami sebarang beban.
"Sudah pasti pasukan yang akan memberikan saingan sengit adalah pasukan JDT|GBX sendiri.
"Ia kerana ada kebarangkalian untuk kedua-dua pasukan JDT|GBX untuk bertemu di pusingan yang lebih awal," ujarnya.
Tambahnya lagi, dia berharap JDT|GBX dapat layak ke pusingan akhir FIFAe Club World Cup 2023.
"Kami harapkan pengalaman yang kami timba pada musim lepas dapat sedikit sebanyak membantu kami untuk pergi lebih jauh pada musim ini," luahnya.
Sebelum ini perjalanan GBX dalam FIFAe Club World Cup terhenti apabila tewas tipis kepada pasukan SAF dengan agregat 5-7 walaupun pada awalnya berjaya menewaskan pihak lawan dalam pusingan 16 (pertama) dengan jaringan 3-1.
Kejohanan tersebut berjaya dimenangi oleh pasukan Riders daripada Sepanyol yang menewaskan SAF dengan agregat 2-1 sekali gus merebut hadiah bernilai US$300,000 (RM1.2 juta). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram