MANCHESTER City bakal berdepan hukuman daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mereka didakwa dengan lebih 100 dakwaan pelanggaran peraturan kewangan (FFP).
EPL mengesahkan pada Isnin bahawa ia telah merujuk beberapa dakwaan pelanggaran peraturan kewangan dari musim 2009-10 hingga kempen 2017-18.
Susulan isu berkenaan, memetik laporan The Time, City bakal berhadapan dengan hukuman denda pemotongan mata dalam saingan EPL dan berkemungkinan disingkirkan daripada saingan liga.
Skuad The Citizens itu dikatakan telah melanggar peraturan berkaitan dengan menyediakan maklumat kewangan yang tepat khususnya berkenaan dengan keuntungan kelab, termasuk hasil tajaan dan kos operasi, antara musim 2009-10 serta 2017-18.
Seterusnya, kelab Etihad itu juga difahamkan melanggar peraturan berkaitan butiran gaji untuk pengurus dan pemain antara kempen 2009-10 dan 2015-16.
City juga didakwa kerana gagal mematuhi peraturan Liga Perdana yang memerlukan kelab mematuhi peraturan kewangan Fair Play UEFA dari musim 2013-14 hingga 2017-18.
UEFA mengenakan penggantungan selama dua tahun dan mendenda City £25 juta (RM128.2 juta) pada Februari 2020 atas dakwaan pelanggaran fair play peraturan kewangan.
Bagaimanapun, hanya lima bulan kemudian, hukuman itu telah dibatalkan dan denda terakhir yang dikenakan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan hanya £9 juta (RM46.1 juta).
City juga dikatakan telah melanggar peraturan Liga Perdana mengenai keuntungan pada musim 2015-16, 2016-17 dan 2017-18.
Liga Perdana juga mendakwa bahawa City gagal bekerjasama atau membantu siasatan dengan menyediakan dokumen dan maklumat berkaitan setiap musim, termasuk yang sedang berjalan sejak permulaan kempen 2018-19.
Selaras dengan peraturan Liga Perdana, prosiding sebelum suruhanjaya itu akan didengar secara tertutup, dengan keputusan disiarkan di laman web rasmi liga.
Musim lalu, Burnley dan Leeds United dilaporkan membuat aduan kepada Liga Perdana berhubung keputusannya untuk tidak mengenakan Everton dengan pelanggaran peraturan perbelanjaan.
Di Itali, kelab gergasi Serie A, Juventus dipotong 15 mata kerana melakukan penyelewengan kewangan.
Pimpinan kelab itu termasuk bekas Pengerusi Juventus, Andrea Agnelli dan bekas Ketua Pegawai Bola Sepak kelab, Fabio Paratici yang kini di Tottenham digantung dari bola sepak Itali selama dua tahun.
Dalam pada itu, sekiranya berlaku pemotongan mata kepada City, ia sebenarnya menjadi jalan mudah buat pasukan Arsenal menjulang trofi musim ini.
City kini hanya ketinggalan lima mata di belakang Arsenal dengan mengumpul 45 mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram