Bukan Brendan Gan, tapi penyokong ada calon kapten Selangor untuk 2023


  • Podium
  • Isnin, 06 Feb 2023

Brendan Gan (kanan) diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan kapten Selangor FC. — Facebook/Selangor FC

PELBAGAI perkara boleh dibincangkan berikutan kekalahan yang dialami Selangor FC dalam peringkat akhir Piala Harapan 2023 menentang Penang FC.

Keputusan 1-2 itu menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe mengalami kekalahan pertama dalam perlawanan pemanas badan sebelum kempen Liga Super bermula 24 Februari depan.

Melihat kepada komen yang membanjiri ruangan komen media sosial, mereka sepertinya kurang berpuas hati dengan persembahan yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang itu.

Antaranya, kegagalan penyerang baharu, Ayron del Valle untuk mengemudi barisan serangan dikritik teruk sehingga menyebabkan ramai pihak mempersoalkan kemampuannya.

Selain itu, aksi tidak bermaya daripada pertahanan kanan, Quentin Cheng turut diberi perhatian selepas dia gagal dalam menyekat serangan bertali arus yang dilancarkan skuad Harimau Kumbang.

Namun, di sebalik rasa kurang senang itu, penyokong Selangor FC masih boleh tersenyum dengan jaringan cantik dihasilkan pemain tengah, Mukhairi Ajmal.

WhatsApp Image 2023-02-06 at 19.31.00

Jaringan Mukhairi (tengah) ketika berdepan Penang FC cukup memukau. Facebook/Selangor FC

Selepas menerima bola di kawasan luar kotak penalti, pemain berjersi no. 10 itu melepaskan rembatan deras yang menewaskan penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi.

Jaringan tersebut dilihat sudah cukup untuk memaksa Cheng Hoe untuk menjadikannya tonggak pasukan sekiranya mereka mahu mencapai kejayaan.

Lebih menarik lagi, bagi seorang penyokong Gergasi Merah, Jamal Nasir, Mukhairi sepatutnya diberikan peranan lebih penting dalam pasukan.

"Ini yang kita mahukan, Mukhairi Ajmal sebagai ketua pasukan Selangor FC dan mengarahkan pemain serta melakukan jaringan gol pada masa memerlukan.

"Tahniah Mukhairi Ajmal dengan jaringan jarak jauh daripada 30 meter, memang sangat cantik dan sangat padu tendangan anda itu," katanya.

Usaha menakjubkan pemain berusia 21 tahun itu meletakkan skuad Gergasi Merah di hadapan pada separuh masa pertama, namun akhirnya mereka tewas hasil daripada dua gol Soony Saad.

Mukhairi sebelum ini pernah memakai lilitan kapten ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Super 2022 apabila dia berjaya mencatatkan 50 penampilan buat pasukan Lembah Klang itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram