BEKAS calon penyerang import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ebenezer Assifuah mendedahkan dia pernah menolak tawaran kontrak 10 juta pound (RM51 juta) daripada kelab Emeriyah Arab Bersatu (UAE).
Assifuah merupakan bekas bintang muda Ghana yang pernah menyinar dalam kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun pada 2013.
Pada waktu itu, namanya menjadi sebutan ramai untuk melangkah lebih jauh selepas menyapu gelaran penjaring terbanyak kejohanan tersebut dengan enam gol.
Malah pada ketika itu, penyerang berusia 29 tahun itu sama-sama bersaing dengan bintang terkemuka dunia, Paul Pogba dan Samuel Umtiti yang memiliki perjalanan karier lebih cerah berbandingnya.
Walaupun pernah bergelar pemenang kasut emas Piala Dunia, Assifuah mengakui sedih kerana kerjayanya tidak berkembang seperti Pogba dan Samuel Umtiti yang pernah beraksi bersamanya.
Media Ghana melaporkan Assufiah berhijrah ke Kedah.
"Saya rasa sedih bila melihat pemain seperti Pogba, Umtiti dan yang lain-lain. Ini kerana kami beraksi di atas satu pentas yang sama.
"Bezanya adalah negara mereka sedar kemampuan pemain dan melatih mereka untuk menjadi lebih baik. Malah, kesemuanya masih bermain hingga kini.
"Bagi kami pula, saat kami gagal memenangi kejohanan itu, semuanya sudah tertutup," katanya.
Susulan aksi cemerlangnya bersama skuad muda Ghana, Assifuah berkata, dia pernah ditawarkan tiga kelab UAE pada 2017 dengan antara tawarannya bernilai RM51 juta tetapi memilih untuk kekal di Eropah bersama kelab Perancis, Pau FC.
Antara pemain Ghana yang beraksi di UAE ketika itu adalah bekas kapten Ghana, Asamoah Gyan yang menyertai kelab Al Ahli.
Pada awal bulan lalu, Assifuah ini dilaporkan akan menyertai KDA FC bagi mengharungi Liga Malaysia musim 2023 tetapi difahamkan tiada kontrak ditawarkan kepada pemain tersebut.
Malah media Ghana Soccernet turut melaporkan perpindahan pemain itu ke kelab Sang Kenari.
Dalam senarai skuad Kedah di carian Transfermrket juga mendapati nama Assifuah masih kekal bersama skuad kendalian Nafuzi Zain itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram