KETUA Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim kecewa dengan kekalahan 0-3 pasukan bimbingannya di tangan skuad KL City FC dalam perebutan Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.
Beliau menyifatkan anak-anak buahnya masih naif dan tidak dapat menunjukkan kematangan sebenar dalam persembahan mereka kerana kekurangan beraksi di pentas bola sepak domestik.
"Kalau tengok daripada keputusan nampak team kita (Perak FC) kurang baik. kalau lihat skor saja, orang fikir ia satu perlawanan mudah untuk KL City FC.
"Dalam bola sepak profesional, it's all about score and result (semuanya tentang skor dan keputusan). Saya sungguh kecewa dengan keputusan ini, tapi bukan kecewa dengan cara team bermain. Para pemain beraksi dengan baik namun, skor ini tak sepatutnya sampai 3-0," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Obiozor diasak dua pemain KL City dalam perlawanan di Stadium Kuala Lumpur pada Sabtu. — Facebook
Beliau mengakui kebanyakan pemainnya lemah dari segi kematangan dalam corak permainan kerana memberikan gol-gol mudah kepada skuad The City Boys.
"Gol-gol KL City itu tak sepatutnya terjadi...tapi kerana pemain kurang matang, ia terjadilah. Saya terpaksa bagi pemain masa untuk menjadi lebih matang dan ini mengambil masa.
"Kematangan pemain bola sepak ini pun kita tak boleh paksa. Ia suatu proses...ia terpulang kepada kebijaksanaan seseorang pemain tu dan saya tak boleh paksa. Kalau paksa, ia akan rosak. Kita perlu sabar dan harap mereka belajar daripada kekalahan ini.
"Dari segi cara permainan, mereka berikan yang terbaik dan saya sangat berterima kasih, tapi kita tak seharusnya kalah sampai 3-0, bila tewas macam ni nampak team kita lemah sangat," katanya lagi.
Teong Kim berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya, namun tidak gembira dengan keputusan yang diraih Perak FC. — Facebook
Teong Kim mengakui dengan kekalahan itu, dia perlu berdepan tekanan terutamanya daripada para penyokong yang mahu melihat air tangannya 'menjadi' dan untuk itu, dia perlu menyempurnakan tugas tersebut.
"Saya perlu memahami proses yang dilalui oleh setiap pemain dalam pasukan ini tetapi bukan semua mahu dengar alasan team ini banyak dianggotai pemain muda atau ia suatu proses pembelajaran buat mereka.
"Jadi para pemain perlu menggandakan usaha untuk jadi lebih matang dan ia perlu dilakukan segera kerana pada tahap sekarang, inilah pencapaian mereka (masih kurang matang)," tegasnya.
Raja Imran Shah antara yang menyerlah pada aksi menentang KL City FC. — Facebook
Pada masa sama, Teong Kim berkata, sebagai pemain profesional, anak-anak buahnya perlu mengharungi apa sahaja kritikan termasuk persembahan kurang matang yang ditunjukkan ketika ini.
"Sama ada anda berhenti main bola sepak, buat benda lain, hidup tanpa tekanan atau live with it (harungi cabaran) kerana anda adalah pemain bola sepak profesional," katanya.
Dalam perkembangan sama, Teong Kim menyatakan rasa puas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain import yang baru ditandatangani skuad Seladang musim ini, Christian Obiozor.
Beliau berkata, Obiozor sentiasa menunjukkan kesungguhan di atas padang dan percaya penyerang dari Nigeria itu akan menghadirkan gol buat pasukan suatu hari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram