Ada baik juga main pada waktu petang — Boss Zamsaham


  • Podium
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Pemilik Kelantan FC itu menyokong keputusan MFL berkaitan aksi pada sebelah petang. — Facebook/TRW Kelantan FC

PENGUMUMAN pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai jadual liga musim depan mendapat perhatian ramai dengan beberapa perkara menarik mula dibincangkan.

Antaranya, keputusan untuk mengadakan perlawanan ketika waktu petang sememangnya satu topik yang diberi perhatian melihat kepada kesesuaian keadaan cuaca.

Selain itu, jadual berkenaan pastinya menjejaskan tahap kehadiran penyokong di stadium apabila peminat setia pasukan masing-masing masih berada dalam waktu bekerja.

Jadi, tidak hairanlah apabila ia terus dibincangkan secara maya di laman media sosial dengan ramai penyokong mempersoalkan perancangan terbabit.

Bagaimanapun, bagi peminat tegar bola sepak tanah air, perkara itu sebenarnya bukanlah satu keputusan yang baharu apabila beberapa pasukan pernah beraksi pada sebelah petang sebelum ini.

Naib juara Liga Perdana 2022, Kelantan FC merupakan antara kelab yang sudah lama mempraktikkan kaedah itu dengan terdapatnya laporan mengatakan ia berpunca daripada isu pencahayaan Stadium Sultan Muhammad IV.

1732331

Stadium Sultan Muhammad IV sudah dilengkapi lampu limpah sejak pertengahan musim lalu.

Namun, masalah itu sepertinya sudah diselesaikan apabila kerajaan negeri mengambil keputusan untuk memasang lampu limpah di stadium itu pada pertengahan musim lalu.

Meskipun ia tidak efisien pada awal pelaksanaannya, beberapa aksi Piala Malaysia dan Liga Perdana membuktikan bahawa mereka sudah bersedia untuk beraksi pada sebelah malam.

Tetapi, dengan keputusan sudah dibuat MFL, tidak hairanlah jika penyokong terus membanjiri media sosial dengan meluahkan rasa kurang senang mereka akan hal berkenaan.

Mengulas akan perkara itu, pemilik skuad The Red Warrior (TRW), Norizam Tukiman melihat ia sudah menjadi satu kebiasaan untuk mereka selepas bertahun-tahun terlibat dengannya.

"Untuk bermain di waktu petang, kita (Kelantan FC) memang sudah kerap bermain pada waktu petang. Sekiranya anda perasan, pada tahun lepas, lampu pun sudah ditukar dan kita sudah selesa.

"Selain itu, melihat kepada gambar-gambar yang diambil ketika perlawanan, ia dilihat lebih menarik pada saya. Jadi, ini mungkin juga baik untuk Kelantan FC sebenarnya," katanya.

Dia berkata demikian ketika majlis menandatangani Memorendum Persefahaman (MoU) antara skuad TRW dan pitchIN di Hotel Zamburger Kota Warisan, Sepang, Selangor pada Jumaat.

Pasukan Pantai Timur itu bakal melangkah kaki ke divisyen teratas bola sepak tempatan buat pertama kali sejak 2018 selepas mereka tersingkir berikutan isu kewangan dan pemotongan mata.

Dalam masa sama, usahawan berusia 42 itu juga berpendapat keputusan tersebut serba sedikit mengurangkan risiko gangguan dalam kalangan penonton di stadium.

"Petang bagus juga sebenarnya, mungkin untuk mengelakkan hal-hal yang tidak baik kerana waktu malam, kalau perlawanan tamat pada pukul 11 atau 12 tengah malam, adanya risiko terhadap kaum wanita.

"Pada saya, jika aksi pada waktu petang, habis kira-kira pada waktu Maghrib, saya rasa tidak ada atau kurang risiko untuk berlaku hal negatif," katanya.

Norizam, yang juga dikenali ramai sebagai Zamburger sebelum ini sah menjadi pemilik kelab pada 2020 dengan visinya untuk menyelamatkan mereka daripada terus bergelut dalam masalah kewangan.

Selepas hampir tiga tahun, usaha tersebut dilihat membuahkan hasil apabila Kelantan FC melangkah ke suku akhir Piala Malaysia 2022 di samping menamatkan saingan liga di tangga kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram