Mahu kawal persepektif negatif, potensi perubatan kanabis, ketum akan dibincang lebih terperinci — Fadillah


  • Primer
  • Isnin, 30 Jan 2023

Fadillah melihat dari dekat hasil produk berasaskan kenaf sempena Sesi Lawatan Serta Talimat Sektor Kenaf dan Tembakau di Ibu Pejabat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Kubang Kerian, Kelantan. — Bernama

KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi sedang melihat potensi perubatan yang ada dalam tanaman kanabis dan ketum, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melihat kaedah penanaman dan proses penghasilan produk yang terkawal, sekiranya ia dibenarkan untuk ditanam bagi tujuan perubatan di negara ini.

Katanya, pembentangan mengenai potensi tumbuhan tersebut juga diberikan oleh beberapa pemain industri dan persatuan yang berkaitan dengan kanabis dan hemp.

"Amerika Syarikat, Belanda dan kini Thailand aktif dengan industri tersebut, tetapi di Malaysia, disebabkan ia adalah barang di bawah kawalan kita kena bincang dengan Kementerian Kesihatan bagaimana nak jadikan produk ini boleh ditanam, diproses dan dijual hasilannya dalam keadaan terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Industri Kenaf dan Kawal Selia Industri Tembakau, di Ibu Pejabat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Hadir sama, timbalannya Datuk Siti Aminah Aching, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Abdul Hadi Omar dan Ketua Pengarah LKTN Idris Mohd Salleh.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, ketika ini persepsi masyarakat mengenai kanabis agak berat.

"Bila kanabis persepsinya agak berat, sebab itu kita perlu uruskan dan hasilkan dalam keadaan terkawal iaitu dari segi tanaman, proses dan keseluruhannya (mempunyai) nilai perubatan termasuk hasilan seperti minyak bagi tujuan eksport.

"Saya akan perincikan perkara ini menerusi perbincangan dengan KKM, pihak industri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat untuk melihat kesesuaian bagaimana kita nak laksanakan kalau ia dibenarkan supaya perspektif negatif itu dapat dikawal,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kanabis, Hemp, Fadillah Yusof, kanabis, Ketum, Hemp, Kenaf