SEJAK pembukaan jendela perpindahan musim sejuk, beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sibuk melakukan aktiviti perpindahan untuk memperkukuhkan skuad masing-masing.
Kelab di tangga kesembilan, Chelsea melakukan pelaburan terbesar dengan membelanjakan kira-kira RM1.12 bilion ($265 juta) untuk mendapatkan khidmat beberapa bintang baharu.
Namun, bagi pasukan di tangga keempat, Manchester United, mereka masih berdiam diri sepanjang jendela perpindahan dengan tidak melakukan sebarang perbelanjaan secara besar-besaran.
Penjaga gol England, Jack Butland dan penyerang tinggi lampai, Wout Weghorst merupakan dua rekrut baharu mereka dengan kedua-dua pemain dibawa masuk secara pinjaman.
Hal itu dikhuatiri akan menjejaskan peluang skuad The Red Devils untuk melangkah ke pentas Liga Juara-juara UEFA (UCL) jika pemain utama dilanda kecederaan.
Masa depan pemain antarabangsa Belgium di Leicester City semakin samar. — Agensi
Berdasarkan laporan media antarabangsa, pasukan itu berhasrat untuk membawa masuk pemain tengah Leicester City FC, Youri Tielemans dengan kontraknya bakal tamat tidak lama lagi.
Melihat kepada profil dan prestasinya ketika ini, dia merupakan antara wajah baharu yang wajar diperkenalkan ke Stadium Old Trafford sebelum tutupnya jendela perpindahan pada Selasa.
Perkara tersebut berikutan tiga sebab yang boleh dikenal pasti untuk menyifatkan pemain kelahiran Belgium itu sebagai tonggak baharu Manchester United untuk digandingkan bersama bintang pasukan, Casemiro.
1. Isu kecederaan skuad The Red Devils
Ketika aksi Piala FA berdepan Reading, perancang tengah, Christian Eriksen terpaksa diusung keluar selepas dibentes bekas penyerang kebangsaan England, Andy Carroll.
Kehilangan itu menyaksikan pengurus pasukan, Erik Ten Hag semakin berdepan isu di posisi berkenaan selepas Scott McTominay dan Donny van de Beek juga tidak boleh diturunkan.
Eriksen (kanan) mengalami kecederaan selepas diterjah penyerang Reading, Andy Carroll. — Agensi
Perkara itu memaksa juara EPL 13 kali berkenaan untuk melakukan perbelanjaan ketika jendela perpindahan dengan pemain tengah perlu dijadikan keutamaan.
Ketika ini, Manchester United sedang berentap dalam empat pertandingan, termasuk Piala FA dan Piala Liga dan kehadiran Tielemans sememangnya satu kewajipan.
2. Kos rendah
Laporan ketika ini menyebut pasukan berprestij itu sedang diambil alih pihak luar dengan ia menyebabkan mereka tidak mempunyai sumber kewangan untuk berbelanja.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila mereka tidak dapat membawa masuk bintang-bintang ternama dalam usaha mereka untuk memperkukuhkan skuad untuk mencabar kejuaraan.
Jadi, dengan kontrak Tielemans bakal berakhir pada Jun ini, ia merupakan satu peluang terbaik untuk mendapatkan khidmatnya sebagai salah satu pemain berpotensi.
Laporan tidak rasmi mengatakan Leicester City terbuka dengan sebarang tawaran serendah RM78 juta ($18 juta) sebelum dia meninggalkan kelab secara percuma.
3. Pengalaman EPL
Sejak menyertai skuad The Fox pada 2019, Tielemans sudah mengumpul 140 penampilan liga dan ia pasti tidak akan menyukarkan pihak kejurulatihan untuk menyesuaikan diri.
Di samping itu, selepas hampir empat musim, pemain berusia 25 tahun itu kerap diturunkan dalam kejohanan-kejohanan domestik dan peringkat Eropah.
Tielemans pernah menjulang trofi Piala FA ketika bersama Leicester City. — Agensi
Oleh itu, ia merupakan satu kelebihan buat skuad The Red Devils, apatah lagi dengan pemain berkenaan pernah menjulang trofi Piala FA pada 2021.
Cita-cita Manchester United untuk menamatkan kejuaraan boleh tercapai sekiranya mereka memilih untuk mendapatkan pemain tengah itu pada jendela perpindahan ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram