KEMENANGAN bermakna yang dicatatkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal ke atas seteru utama, Tottenham Hotspur dibelenggu insiden apabila penjaga gol mereka, Aaron Ramsdale ditendang penyokong lawan.
Menerusi satu rakaman selepas wisel penamat ditiupkan, pemain antarabangsa England itu dilihat sedang berperang mulut dengan penyerang Spurs, Richarlison sebelum ditarik marshal stadium.
Bagaimanapun, tidak semena-mena, seorang penyokong yang dilihat kurang berpuas hati dengan pemain itu mengambil langkah drastik dengan melompat ke arah penghadang sebelum menendang Ramsdale di belakangnya.
Kata penjaga gawang berusia 24 tahun itu, ia merupakan satu momen yang kurang manis, namun masih bersyukur kerana tiada perkara lebih buruk berlaku.
"Sepanjang separuh masa kedua permainan, penyokong Spurs kerap mengganggu saya. Jadi, saya ambil keputusan untuk membalasnya dan perkara itu pada awalnya diterima dengan baik.
"Tiba-tiba, penyokong berkenaan melakukan demikian, perkara itu berlaku dan ia satu hal yang cukup memalukan kerana bola sepak hanyalah satu sukan," katanya, menurut laporan The Guardian.
Selepas perlawanan tersebut, The Gunners menduduki tangga teratas EPL selepas mengumpul 47 mata daripada 18 perlawanan dengan lapan mata dibezakan berbanding pencabar terdekat, Manchester City.
Dalam masa sama, pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata, dia tidak mahu merencatkan keceriaan anak-anak buahnya dengan insiden tersebut dan berharap pasukannya untuk terus fokus bagi perlawanan akan datang.
Namun, bagi Spurs pula, mereka bertegas untuk menyelesaikan perkata itu dengan mengambil tindakan terhadap penyokong tersebut agar ia tidak berulang pada masa akan datang.
"Kami sememangnya terkesan dengan kelakuan seorang penyokong yang cuba untuk menyerang Ramsdale pada akhir perlawanan. Pihak kami sudah melihat semula rakaman kamera litar tertutup untuk mengenali pasti pelaku tersebut," katanya menerusi satu kenyataan.
Tottenham ketika ini berada di tangga kelima selepas hanya mencatatkan dua kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, termasuk dua kekalahan berturut-turut di laman sendiri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram