SEBAHAGIAN penyokong Manchester United jatuh di atas padang selepas papan iklan (hoarding) di depan tempat duduk stadium runtuh ketika mereka meraikan gol ketiga pasukan itu yang menewaskan Nottingham Forest dengan skor 3-0 pada Rabu.
Sebaik Bruno Fernandes melengkapkan kemenangan 3-0 Manchester United pada minit ke-89 perlawanan, para pemain yang teruja meluru ke hujung padang untuk meraikan gol tersebut di depan penyokong.
Bagaimanapun secara tiba-tiba, papan iklan tersebut jatuh mengakibatkan sebahagian penyokong tersembam ke atas padang.
Insiden itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa kerana tindakan pantas polis dan marshal meredakan kekecohan.
Dalam tempoh beberapa minit, peminat kembali ke tempat masing-masing dan papan iklan itu juga turut diganti.
Polis kemudiannya terus beratur di hadapan penyokong lawan bagi mengelak kejadian itu berulang.
Gary Neville menerusi ulasan di Sky Sports berkata, "Insiden itu kurang menyenangkan namun semua nampaknya okey selepas itu. Mereka perlu lebih berjaga-jaga supaya kejadian sedemian tidak berulang pada masa depan."
Dalam perlawanan itu, Manchester United membuka tirai jaringan seawal minit ke-6 apabila larian solo Marcus Rashford gagal dihalang barisan pertahanan Nottingham Forest, sebelum percubaan jarak dekatnya menghasilkan gol buat Red Devils.
Jaringan tersebut merupakan jaringan ke-10 buat Rashford daripada 10 perlawanan terakhir Manchester United.
Nottingham Forest kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan melalui Sam Surridge namun dibatalkan oleh VAR kerana ofside.
Selepas itu giliran Wout Weghorst melebarkan kedudukan kepada 2-0 sebelum tamat babak pertama perlawanan, apabila penyerang Belanda itu memanfaatkan bola muntah.
Bruno Fernandes kemudian melengkapkan kemenangan 3-0 Manchester United dengan rembatan rendah pada minit ke-89 perlawanan selepas mendapat umpanan bijak Anthony Elanga di dalam kotak penalti lawan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi bagi aksi separuh akhir kedua Carabao Cup di Old Trafford pada 2 Februari depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram