'Itulah faktor saya beli Kedah', pemilik Kedah mahu kepak Kenari lebih 'menggila'


  • Podium
  • Ahad, 29 Jan 2023

Daud Bakar mendedahkan penyokong Sang Kenari menjadi faktor terbesar yang mendorong beliau membeli saham terbesar KDA FC. — Facebook/KDA FC

PEMILIK Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar menyifatkan penyokong Sang Kenari merupakan aset paling mahal yang dimiliki pasukan berkenaan.

Malah, Daud Bakar juga mendedahkan bahawa penyokong Sang Kenari menjadi faktor terbesar yang mendorong beliau membeli saham terbesar KDA FC.

"Kekuatan KDA FC adalah penyokong, penontonnya. Itu adalah aset paling mahal KDA FC. Itulah mendorong saya untuk membeli pasukan itu kerana kekuatannya pada penyokong.

"Keterujaan dan kegilaan penyokong Kedah harap dapat dibentuk semula dan sentiasa dapat momentum yang beterusan. Sudah pasti ia juga memberi tekanan kepada barisan pemain dan kejurulatihan," katanya dalam sidang media Jelajah Pra-musim yang diadakan di Dewan Inas Kedah Digital Library, Alor Setar pada Ahad.

WhatsApp Image 2023-01-29 at 19.39.30

Penyokong Sang Kenari merupakan aset paling mahal yang dimiliki Kedah. — Facebook/KDA FC

Menurutnya, barisan pengurusan, kejurulatihan dan pemain perlu mengambil semangat penyokong Sang Kenari untuk terus memberikan yang terbaik buat KDA FC.

Dalam pada itu, sebagai tanda menghargai pengorbanan penyokong, Daud Bakar juga mengumumkan akan menambah peralatan baharu untuk Ultras Kedah yang tidak putus-putus turun ke Darul Aman bagi menunjukkan sokongan.

"Kami akan beri peralatan baru kepada ultras. Yang bunyinya boleh dengar satu stadium. Nak tambah peralatan baharu.

"Banyak lagi benda yang nak dilakukan supaya tiada perbezaan antara penyokong dan pengurusan. Saya bersedia untuk mendengar permintaan penyokong. Mereka adalah seolah-olah tiang kepada pasukan Kedah," ujarnya.

Di majlis itu juga, Daud Bakar mendedahkan empat kelab bagi siri perlawanan pramusim yang diadakan di Antalya, Turkiye pada Februari ini.

Empat pasukan yang bakal dihadapi KDA FC ialah kelab Liga Perdana Uzbekistan, FC Nasaf; FC Shakhter Karaganda serta FC Maqtaraal iaitu dari Liga Perdana Kazakhstan dan terakhir FC Metalist Sharkiv dari saingan Liga Perdana Ukraine. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram