'Usah berpecah atau umat Islam dihina lebih dahsyat', mufti ulas isu bakar al-Quran


  • Massa
  • Rabu, 25 Jan 2023

Tindakan Paludan membakar al-Quran baru-baru ini membangkitkan amarah umat Islam seluruh dunia. — Agensi

SERANGAN dan provokasi ke atas Islam seolah-olah tiada kesudahan, yang mana saban hari ada sahaja perkara membabitkan maruah agama itu dihina dan dipijak-pijak.

Kejadian itu bukan sahaja berlaku di negara ini, malah turut terjadi di luar negara yang semestinya menimbulkan kemarahan masyarakat Islam seluruh dunia.

34891754-0-image-a-47_1603791861461

Tindakan Macron yang membenarkan karikatur menghina Islam di Perancis membangkitkan kemarahan umat Islam dunia. Agensi

Pada 2020, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan angkuh menyatakan, negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Ini susulan kejadian seorang guru dipenggal kerana tindakan biadabnya menunjukkan karikatur Rasulullah SAW.

_125307746_gettyimages-1241146150-594x594

Tindakan Nupur Sharma yang didakwa menghina Islam turut mendapat bantahan umat Islam. — Agensi/Getty Images

Pada Jun tahun lalu, jurucakap parti BJP, Nupur Sharma didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan isterinya, Saiditina Aishah menerusi debat televisyen di India.

Terbaharu, ahli politik Sweden, Rasmus Paludan mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam apabila bertindak membakar senaskhah al-Quran sebagai tanda bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.

1775361

Mohamad Sabri

Menyedari isu penghinaan ke atas Islam semakin melampaui batas, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, tindakan memboikot barangan buatan negara terlibat menghina Islam merupakan salah satu bantahan yang perlu dilakukan.

Selain itu, Mufti Terengganu itu berkata, umat Islam juga disaran untuk menyatakan kemarahan menerusi surat bantahan kepada negara terbabit.

"Meskipun berasa marah, umat Islam perlu profesional tanpa keterlaluan dari segi emosi yang boleh mencetuskan pergaduhan," katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama, Mohamad Sabri berkata, orang Muslim sepatutnya mengamalkan ajaran Islam sebaik mungkin, selain berdoa supaya hanya perkara baik berlaku ke atas umat Islam dan dunia.

Katanya, umat Islam juga disaran untuk tidak berpecah dan berhubungan baik sesama Muslim bagi mengelakkan penghinaan ke atas agama itu berulang lebih dahsyat.

"Apabila umat Islam tidak mengamalkan Islam sebaiknya, khususnya sesama Muslim, maka berlaku pelbagai fitnah yang besar," tambahnya.

template - 2023-01-25T172859.516

Abdul Rahman

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, umat Islam tidak boleh berdiam diri atas penghinaan ke atas agama, yang mana sekurang-kurangnya mereka perlu melakukan bantahan menerusi lisan, bertulis atau tindakan.

Mufti Pahang itu berkata, ini termasuk memboikot barangan dan menulis surat bantahaan kepada negara terbabit.

"Sama ada berkesan atau tidak, yang penting kita ada usaha untuk menentang dan mempertahankan agama kita," katanya.

Ketika ditanya hukum seseorang membeli barangan daripada negara yang terlibat menghina Islam, Abdul Rahman berkata, sekiranya si pembeli mempunyai keperluan dan tiada pilihan untuk membeli barangan lain, maka ia tidak menjadi sebarang masalah.

"Tetapi kalau ada pilihan, lebih baik kita mengenepikan barangan itu dan menganggapnya sebagai satu bantahan.

"Namun, sebagai contoh kalau kita memiliki kereta diperbuat daripada negara terbabit, maka kita terpaksa gunakannya dan tiada pilihan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram