DALAM hubungan perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kesetiaan dan kejujuran. Setiap pasangan mengharapkan diri mereka dihargai dan tidak mudah ditukar ganti begitu sahaja.
Namun, langit cerah disangkakan sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sama juga dengan keadaan hubungan bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Greg Halford dengan bekas kekasihnya, Kirsty Goh.
Halford, 38, bertindak membuang beberapa barangan yang ditinggalkan Goh di kediamannya di Sutton Coldfield, Birmingham, Britain.
Agak mengejutkan apabila Halford ‘membersihkan’ semua barangan terbabit dengan cara melontarkannya daripada tingkap dari tingkat dua rumah.
Menerusi rakaman yang tular, beberapa buah kotak kasut dan kotak pakaian kosong termasuk basikal berwarna hitam, jingga jenis BMX bertaburan di halaman rumahnya.
Halford yang memuat naik rakaman tersebut di Twitter turut menyatakan;”Sudah terlalu lama, tetapi akhirnya berjaya bersihkan semua barangan kekasih curang.’
Tindakan Halford itu ternyata mendapat sokongan daripada peminat yang bersetuju caranya mengajar bekas kekasihnya itu.
Namun, menurut jiran Halford, mereka agak terkejut apabila mengetahui Halford masih menyimpan barangan Goh di rumahnya sedangkan hubungan mereka sudah berakhir 15 bulan lalu.
“Saya tidak tahu yang dia masih belum melupakan Goh sedangkan kedua-dua sudah lama putus.
“Jika saya ahli keluarga atau bapa kepada wanita itu, saya berpendapat tindakannya itu keterlaluan. Rumah itu sudah hampir 12 bulan tidak berpenghuni manakala bekas kekasihnya sudah keluar 15 bulan lalu,” demikian reaksi beberapa jiran Halford.
Halford mendakwa hubungannya dengan Goh berakhir kerana wanita itu curang.
Dalam pada itu ada juga yang berpendapat punca kekasihnya curang adalah disebabkan oleh kesibukannya dalam karier bola sepak.
“Dia terlalu sibuk dengan kerjayanya dan kebanyakan masa Goh bersendirian di rumah. Dia memiliki perwatakan menarik manakala kekasihnya pula sentiasa tiada bersama. Suatu hari saya lihat Goh bergegas meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Ketika itu saya tidak tahu apa yang berlaku,” ujarnya.
Dikhabarkan Halford akan menjual kediaman itu dan dia meminta bantuan daripada seorang rakan untuk mengeluarkan barangan daripada rumah berkenaan.
Selain kotak-kotak kosong, beberapa barangan Goh lain seperti peti ais, televisyen dan beberapa alat senaman turut dibuang.
Halford sebelum ini pernah bermain dengan kelab EPL, Birmingham City sebelum meneruskan karier sebagai pemain bola sepak semi profesional bersama kelab kerdil, Southend United. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram